27 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Datuk Seri Dr Rais Yatim seolah-olah membidas Umno BN sendiri apabila menyeru semua pihak mengenepikan fahaman politik dalam sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), Yusapiza Ya'cob (gambar) walaupun sudah 55 tahun Malaysia merdeka dengan pelbagai tema dibuat untuk menyambut hari bersejarah itu namun, kerajaan tidak pernah sekali pun menjemput pimpinan pembangkang menghadiri upacara hari tersebut.
"Pada tahun ini juga, tidak ada seorang pun pemimpin Pakatan Rakyat dijemput untuk bersama-sama memeriahkan sambutan hari kemerdekaan ini.
"Apakah Pakatan Rakyat yang tidak patriotik ataupun Umno BN yang masih degil dan tidak mahu mengenepikan fahaman politiknya dalam menyambut ulang tahun hari yang bersejarah ini?"soalnya dalam satu kenyataan.
Tegasnya, Umno BN masih lagi mengalami sindrom 'Malaysia ini aku yang punya' tanpa mempedulikan pihak-pihak yang lain yang turut sama memperjuangkan kemerdekaan.
DPPWP juga melihat kerajaan Umno BN tidak jujur dalam menyambut Hari Kemerdekaan 2012 ini apabila menggunakan tema '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati'.
Tema itu, katanya secara terang-terangan menunjukkan bahawa adanya agenda tersembunyi Umno BN untuk menghadapi PRU ke-13.
Jelas Yusapiza, tema ini sahaja sudah menunjukkan bahawa Umno BN tidak mampu mengetepikan fahaman politiknya sendiri.
"Malahan ia jelas menunjukkan keegoan dan keangkuhan mereka terhadap rakyat Malaysia. Namun rakyat semakin cerdik untuk mengetahui janji siapakah yang ditepati," katanya.
Katanya, Umno BN juga dilihat semakin terdesak dalam meraih undi sehingga sanggup menjadikan sambutan hari kemerdekaan sebagai platform untuk berkempen.
"Umno BN dilihat cuba mencari lubang-lubang tikus yang ada untuk memenangi hati rakyat. Semua saluran kerajaan akan dikerah demi memastikan Umno BN bernafas lagi selepas PRU 13," katanya.
Justeru, DPPWP yakin semua ahli dan penyokong Pakatan Rakyat merupakan rakyat yang patriotik meraikan sumbangan semua pihak yang berusaha memerdekaan negara kita.
"Hari kemerdekaan disambut dengan ikhlas tanpa perlu ada agenda yang tersembunyi di sebaliknya," tambahnya.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan