27 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR : Senator Dr Syed Husin Ali membidas tindakan terdesak Kerajaan Pusat menggunakan isu air untuk memburuk-buruk pentadbiran Pakatan Rakyat (Pakatan) di Selangor.
Beliau berkata, isu ini dijadikan alat politik murahan Umno BN untuk menekan rakyat dengan harapan dapat mengambil alih semula pentadbiran negeri itu.
Menurutnya, krisis air juga berlaku di negeri-negeri lain, tetapi tidak diberi perhatian kerajaan.
“Mengapa hanya menumpukan masalah ini di Selangor? Masalah air di Johor juga berpanjangan. Di Muar dan Batu Pahat boleh dikatakan sepanjang tahun ada tong-tong air untuk mengatasi masalah ini.
“Mengapa ia tidak diambil perhatian oleh kerajaan? Ini jelas membuktikan Kerajaan Pusat mahu menggunakan masalah air sebagai alat politik murahan,” kata Syed Husin pada sidang media di lobi Dewan Negara hari ini.
Hadir sama, Senator KEADILAN, Syed Shahir Syed Mohamud dan DAP diwakili Dr Ariffin Omar. Muhamad Yusuf pula mewakili PAS.
Masalah kekurangan air di Selangor mula ditimbulkan Umno BN sejak Pakatan mengambil alih pada 2008.
Kemuncak isu ini apabila syarikat pemegang konsesi air negeri – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang disokong Umno BN menakut-nakutkan rakyat untuk mencatu air kononnya bekalan air di negeri itu semakin berkurangan.
Syed Husin mempertikai kebangkitan isu ini walaupun Umno BN sudah berpuluh tahun memerintah Selangor.
“Lebih 50 tahun BN perintah, tidak berlaku kekurangan air, tapi tak sampai lima tahun Pakatan perintah, air boleh habis?” sindirnya.
Beliau turut menyokong keputusan Selangor mengambil alih operasi Syabas kerana syarikat itu gagal melaksanakan tanggungjawab menyediakan air terawat.
“Kalau benar pun berlaku krisis air terawat seperti didakwa, Syabas perlu dipersalahkan kerana tanggungjawab menyediakan air terawat terletak pada Syabas.
“Kenapa syarikat ini tidak boleh menghasilkan air bersih sedangkan kapasiti empangan di Selangor berlebihan?” soal Syed Husin.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan