02 Ogos 2012

Pas: Nasib BN PRU13 ibarat ‘tongkat retak’

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Nasib Barisan Nasional (BN) pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) boleh diibaratkan ‘tongkat retak’ menunggu masa untuk patah.

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohd Fadhli Hassan berkata, situasi itu berkemungkinan berlaku berikutan pengunduran Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dari BN di saat-saat akhir menjelang pilihan raya.

Beliau berkata, peletakan jawatan dua orang kuat BN di Sabah itu menggambarkan kepada rakyat bahawa parti berkenaan menghadapi krisis dalaman.

“Jelas menunjukkan BN ada masalah dalaman sesama pemimpin mereka sebab orang kuat parti ini pun boleh keluar parti. Situasi ini memberikan petanda yang kuat dapat meruntuhkan BN, seperti ‘tongkat yang retak’ dan akan patah sekali gus BN akan terhumban jauh,” katanya semalam.

Sabtu lalu, Lajim mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta dan mengisytiharkan gerakan Pakatan Perubahan Sabah (PPS).

Peletakan jawatan itu turut diikuti oleh Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Wilfred Bumburing.

Dalam pada itu, Mohd Fadhli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi berkata, isu tersebut mampu meningkatkan sokongan dan keyakinan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak terhadap Pakatan Rakyat (PR).

“Sekarang ini pun kita melihat rakyat sudah memberi sokongan dan keyakinan terhadap PR dan begitu juga rata-rata rakyat di Sabah dan Sarawak turut berbuat demikian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Fadhli menyifatkan tuduhan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zakarshi yang mendakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan wang kepada Lajim sebagai satu penghinaan.

Beliau berkata, dakwaan itu merendahkan martabat Lajim dan sebagai orang kenamaan yang berpengaruh, kewangan bukan pengukuran untuk Lajim mengambil keputusan keluar parti.

“Lajim bukan orang biasa sebab dia pegang jawatan besar yang mana kewangan bukan perkiraan untuk dia (Lajim) letak jawatan. Dakwaan itu sangat tidak patut dan boleh disifatkan satu penghinaan yang melampau kepada Lajim,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: