02 Ogos 2012

Rafizi tubuh NOW bela pemberi maklumat

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selepas didakwa di bawah Akta Bafia bersama seorang pemberi maklumat, Rafizi Ramli menubuhkan NGO pemantau pemberi maklumat (National Oversight and Whistleblowers Centre) atau NOW.

NGO ini bertujuan untuk menjaga kepentingan pemberi maklumat selepas akta yang ditubuhkan kerajaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblowers Protection Act) yang digubal langsung tidak berkesan malah diragui rakyat.

Rafizi dalam kenyataannya berkata, NGO ini mempunyai lima tujuan iaitu:

1. Berfungsi sebagai badan pemantau yang menilai secara berkala prestasi urustadbir, tata kelola (governance) dan ketelusan kerajaan dan agensinya (termasuk syarikat berkaitan kerajaan);

2. Berfungsi untuk mendedahkan skandal-skandal besar yang cuba dilindungi oleh mana-mana badan yang berkepentingan awam;

3. Melindungi dan menjaga kebajikan pemberi maklumat melalui Dana Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblower Protection Fund) yang menanggung kos guaman, kos hilang sara diri dan lain-lain;

4. Menjalankan program kesedaran untuk menggalakkan lebih ramai pemberi maklumat tampil ke hadapan; dan

5. Melatih lebih ramai aktivis yang berkemahiran menganalisa skandal dan melakukan pendedahan.

Menurut beliau, negara telah menyaksikan beberapa perkembangan sihat dalam tempoh setahun yang lalu apabila ramai rakyat Malaysia tampil untuk memberi maklumat mengenai salahguna kuasa dan perlakuan rasuah yang berlaku.

Individu-individu yang tampil ini berhadapan dengan risiko yang besar, termasuklah risiko kewangan, pekerjaan dan keselamatan.

"Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa Saudara Johari Mohamad yang hilang mata pencarian, diugut, disiasat dan akhirnya didakwa.

"Kos jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah dan kos guaman sudah tentu diluar kemampuan beliau," katanya merujuk kepada Johari yang turut didakwa bersama beliau ekoran pendedahan skandal NFC.

Kata Rafizi, sepanjang mengendalikan beberapa kes berkepentingan awam setakat ini, beliau berurusan dengan ramai rakyat Malaysia yang berani seperti Johari Mohamad.

"Mereka sepatutnya dilindungi oleh kerajaan. Sebaliknya mereka diburu, diugut dan didakwa oleh kerajaan. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblowers Protection Act) yang digubal langsung tidak berkesan malah diragui rakyat.

"Saya percaya selepas ini, pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus memburu pemberi maklumat untuk menutup mulut mereka," katanya.

(Rafizi dan Johari digari ke mahkamah sebelum di dakwa)

Pemburuan ini juga, katanya, bertujuan untuk mematikan bercambahnya budaya baru dalam masyarakat kita yang menggalakkan pemberi maklumat tampil ke hadapan.

Atas dasar itulah, beliau mengambil inisiatif untuk menubuhkan badan ini.

Badan ini telah didaftarkan dan akan beroperasi dari pusatnya di Sungai Besi.
Kelengkapan di pusat ini termasuklah kemudahan dewan latihan untuk menjalankan program latihan dan wacana yang berterusan.

NOW akan dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 2012, sehari sebelum Hari Kebangsaan untuk melambangkan kebebasan baru rakyat Malaysia.

Kejayaan NOW dalam melindungi pemberi maklumat akan bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk menampung Dana Perlindungan Pemberi Maklumat.

"Oleh itu, saya mengalu-alukan sebarang bantuan dan sumbangan untuk mengisi tabung ini," kata Rafizi.

Maklumat akaun bank NOW adalah seperti berikut:

Akaun Maybank bernombor 562441603039 (Oversight & Whistleblowers Sdn Bhd)

Sebarang sumbangan akan membantu menyegarkan lagi proses mematangkan masyarakat dan membina kebertanggungjawaban awam di negara ini, jelas Rafizi lagi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: