02 Ogos 2012

Lagi Rompakan Mikrocip Di P.Pinang

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN: Perompak mikrocip telah merompak salah sebuah syarikat multinasional di Seberang Prai Tengah dan membawa lari papan mikrocip bernilai RM2.6 juta.

Rompakan ini mengimbas kejadian salah satu rompakan mikrocip terbesar dan paling berani di negara ini bernilai RM47 juta pada tahun 2006.

Dalam kejadian terbaru ini, sembilan orang berusia lingkungan 30-an dan 40-an telah ditahan di beberapa tempat di Bukit Mertajam sejak Julai 15.

Polis berkata, tiga daripada mereka dijangka akan didakwa minggu ini di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri manakala yang lain telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Siasatan awal menunjukkan terdapat kemungkinan rompakan ini membabitkan 'orang dalam' syarikat memandangkan beberapa suspek adalah kakitangan syarikat multinasional ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mereka menemui dua palet papan mikrocip bernilai RM160,000 daripada seorang suspek.

Beliau berkata kos setiap palet ialah RM80,000, sambil menambah bahawa mereka tidak menolak kemungkinan ia diseludup keluar dari negara ini.

"Syarikat ini bukan sahaja mengalami kerugian yang besar tetapi rompakan juga menimbulkan ancaman kepada pelabur. Namun begitu, kami cuba yang terbaik untuk mendapatkan semula barang rampasan," katanya pada sidang media di ibu pejabat polis kontigen negeri, Rabu.

Beliau berkata polis menerima dua laporan pada 27 April dan Jun 6 berhubung kes itu.

Suatu penyiasatan segera dilancarkan sebelum polis menahan suspek.

"Papan mikrocip bertujuan untuk dijual di sini. Mereka yang mempunyai maklumat mengenainya, sila datang ke balai polis terdekat dan membantu kami," katanya.

Pada tahun 2006, lebih daripada 20 perompak menyerbu Kompleks Kargo Udara Kedua di Batu Maung dengan dua treler dan membawa lari 585 karton dan 18 palet mikrocip.

Kes itu dianggap selesai tetapi barang-barang masih belum dapat dipastikan.

Lebih 30 suspek telah ditangkap tetapi tiada seorang pun dikenakan tindakan kerana kekurangan bukti.

mstar/-

Tiada ulasan: