10 September 2012

Bajet 2013: Dayatahan ekonomi negara dibimbangi

23 Syawal 1433H. [MOD] -

1. Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan agensi penarafan kredit Standard & Poor’s (S&P) bertarikh 5 September terhadap kedudukan penarafan kredit dan kewangan negara, saya menggesa pihak kerajaan Malaysia mengambil langkah segera untuk memastikan khazanah wang rakyat diurus secara lebih berhemah, demi kelangsungan dayasaing dan dayatahan ekonomi negara.


2. Kerisauan terhadap kadar defisit fiskal dan hutang negara yang tinggi, hasil daripada perbelanjaan kerajaan yang tidak berhemah menjadi alasan utama laporan tersebut yang memberikan amaran risiko penurunan penarafan kredit dan kewangan Malaysia.

Laporan S&P ini dilihat senada dengan sebuah laporan yang dikeluarkan oleh agensi penarafan kredit antarabangsa terkemuka yang lain, antaranya agensi Fitch Ratings yang turut menzahirkan kebimbangan yang sama terhadap kedudukan kewangan Malaysia dalam senario ekonomi global dan serantau yang tidak menentu.

3. Saya berpendapat, jika rakyat ditegur untuk membuang tabiat gemar berhutang dan berbelanja melebihi pendapatan, seruan yang sama adalah lebih wajib kepada pihak kerajaan supaya tabiat buruk ini diberhentikan.

Tindakan berhutang untuk menampung perbelanjaan kerajaan dilihat umpama tabiat yang sukar dihakis apabila Laporan Perbendahaan Persekutuan mencatatkan hutang kerajaan persekutuan meningkat 70% dalam tempoh 5 tahun, daripada RM247 bilion pada tahun 2007 kepada RM421 bilion pada tahun 2011, berbanding pendapatan negara yang meningkat sebanyak 30% daripada RM140 bilion kepada RM183 bilion bagi tahun yang sama.

4. Oleh itu, saya mendesak kerajaan Malaysia memberikan perhatian serius terhadap aspek perbelanjaan kerajaan dan beban defisit fiskal selama 14 tahun berturut-turut ini, natijah daripada sikap kerajaan yang berbelanja melebihi pendapatan sejak tahun 1998, malah rekod defisit yang sama turut diunjurkan bagi tahun 2012 dan 2013.

Apa yang lebih membimbangkan, kadar hutang negara yang kian meruncing di paras 52% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 2011 diunjurkan terus meningkat ke paras kritikal 55% jika tidak dibendung secara drastik dan holistik.

5. Saya berpendapat, kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap aspek dayatahan ekonomi negara (economic resilience) secara komprehensif, bukannya pemberian populis sementara (one-off contribution) yang tidak mampu mengeluarkan rakyat daripada belenggu bebanan sara hidup yang kian menghimpit.

Kita menyarankan agar kerajaan Malaysia meneroka sumber pendapatan baru agar tidak terus bergantung kepada hasil petroleum, mengkaji mekanisma agihan subsidi dan bantuan kebajikan yang lebih efektif, penyusunan semula agihan peruntukan kepada sektor produktif khususnya pendidikan dan perubatan, serta pelaksanaan sistem tender yang telus untuk menghentikan ketirisan wang rakyat.

6. Malah, saya sekali lagi mengulang saranan yang sama agar jawatan Menteri Kewangan tidak lagi dipegang oleh Perdana Menteri untuk mewujudkan fungsi ‘semak dan timbang’ (check and balance) kerana mengikut rekod, Malaysia menanggung defisit fiskal yang berterusan sejak 1998 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, diteruskan oleh Tun Abdullah dan dikekalkan oleh Perdana Menteri sekarang.

7. Justeru, sebelum Bajet 2013 dibentangkan, saya mengajak seluruh rakyat menilai kejayaan Bajet 2012 dengan memberikan pertanyaan berikut, “Adakah peruntukan Bajet 2012 ditepati? Adakah matlamat Bajet 2012 dicapai?” dan yang lebih penting, “Adakah Bajet 2013 membawa masa depan yang sejahtera kepada anak cucu kita?”.

8. Selamatkan Malaysia!

harakahdaily/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Laporan ini dipetik daripada data Bank Dunia tentang 75 negara dengan kemampuan ekonomi terbesar yang memiliki beban hutang paling tinggi dibandingkan ratio Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Laporan yang dimuat majalah Forbes ini membandingkan 20 Negara Penghutang Terbesar di Dunia :
1.Ireland
Ratio Hutang (% KDNK): 1352%
Hutang luar negeri: $2.39 juta
KDNK : $177.3 juta
2. Britain
Ratio Hutang (% KDNK): 427.6%
Hutang luar negeri: $9.26 trillion
KDNK (prediksi): $2.17 trillion
3.Belanda
Ratio Hutang (% KDNK): 395.6%
Hutang luar negeri: $2.58 trillion
KDNK (prediksi): $652 juta
4.Switzerland
Ratio Hutang (% KDNK): 390%
Hutang luar negeri: $1,23 trillion
KDNK (prediksi): $316.1 juta
5.Belgium
Ratio Hutang (% KDNK): 345.6%
Hutang luar negeri: $1.32 trillion
KDNK (prediksi): $381.4 juta
6.Denmark
Ratio Hutang (% KDNK): 315.2%
Hutang luar negeri: $627.6 juta
KDNK (prediksi): $199.1 juta
7.Sweden
Ratio Hutang (% KDNK): 275%
Hutang luar negeri: $916.42 juta
KDNK (prediksi): $333.2 juta
8.Austria
Ratio Hutang (% KDNK): 268.9%
Hutang luar negeri: $869.13 juta
KDNK (prediksi): $323.2 juta
9.Perancis
Ratio Hutang (% KDNK): 247.2%
Hutang luar negeri: $5.22 trillion
KDNK (prediksi): $2.11 trillion
10.Portugal
Ratio Hutang (% KDNK): 231.5%
Utang luar negeri: $538.1 juta
KDNK (prediksi): $232.4 juta
11.Hong Kong
Ratio Hutang (% KDNK): 218.8%
Hutang luar negeri: $659.27 juta
KDNK (prediksi): $301.3 juta
12.Norway
Ratio Hutang (% KDNK): 208.9%
Hutang luar negeri: $577.80 juta
KDNK (prediksi): $276.5 juta
13.Finland
Ratio Hutang (% KDNK): 205.7%
Hutang luar negeri: $376.8 juta
KDNK (prediksi): $183.1 juta
14.Jerman
Ratio Hutang (% KDNK): 189.4%
Hutang luar negeri: $5.33 trillion
KDNK (prediksi): $2.81 trillion
15.Sepanyol
Ratio Hutang (% KDNK): 184.7%
Hutang luar negeri: $2.53 trillion
KDNK (prediksi): $1.37 trillion
16.Mesir
Ratio Hutang (% KDNK): 175.3%
Hutang luar negeri: $594.60 juta
KDNK (prediksi): $339.2 juta
17.Itali
Ratio Hutang (% KDNK): 154.6%
Hutang luar negeri: $2.71 trillion
KDNK (prediksi): $1.76 trillion
18.Hungary
Ratio Hutang (% KDNK): 124.2%
Hutang luar negeri: $231.33 juta
KDNK (prediksi): $186.3 juta
19.Australia
Ratio Hutang (% KDNK): 108.8%
Hutang luar negeri: $891.26 juta
KDNK (prediksi): $819 juta
20.Amerika Syarikat
Ratio Hutang (% KDNK): 95.9%
Hutang luar negeri: $13.67 trillion
KDNK (prediksi): $14.25 trillion

Berdasarkan fakta ini menunjukkan rakyat malaysia tidak seharusnya terlalu bimbang dengan hutang negara walaupun jumlahnya dalam kedudukan 53-54% dari jumlah KDNK. Sekiranya kita bandingkan ia dengan hutang negara-negara lain yang diiktiraf lebih maju dan baik dari Malaysia, maka sebenarnya kerajaan Malaysia pada masa ini menguruskan hutang negara ini lebih baik dari kebanyakan negara maju dan membangun di dunia ini.

Tanpa Nama berkata...

Kadar hutang negara masih pada paras yang boleh diurus dan Malaysia tidak akan muflis menjelang 2020 seperti yang didakwa sesetengah pihak, kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Di samping itu, segala pinjaman yang dibuat oleh kerajaan adalah bersumberkan daripada pinjaman domestik, kata Daim, yang juga merupakan penasihat ekonomi kerajaan Malaysia pada tahun 1990an.
"Satu perkara penting mengenai hutang negara adalah kebanyakannya ia diperoleh daripada pinjaman domestik.
"Jenis pinjaman ini lebih stabil dan tidak mendedahkan Malaysia kepada aliran keluar modal besar secara tiba-tiba," katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan semalam.
Daim berkata, walaupun beberapa penganalisis bimbang kadar hutang negara dijangka meningkat 1.3 peratus kepada 54.8 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, berbanding 53.1 peratus pada 2010, kenaikan ini adalah wajar sebagai tindak balas terhadap krisis kewangan global yang bermula pada penghujung 2008.
"Kenaikan terkini adalah disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia dan subsidi besar yang diperlukan untuk menampung kenaikan harga barang makanan dan tenaga," katanya.
Menurut Mingguan Malaysia, berdasarkan laporan terkini Bank Pembangunan Asia, ekonomi Asia seperti China, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Thailand akan menanggung 45 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia menjelang 2050.
Sementara itu, seluruh rantau Asia akan menanggung 51 peratus KDNK global pada 2050, malah nilai KDNK akan meningkat kepada US$148 trilion bagi seluruh rantau Asia.
Laporan HSBC yang dilakukan tahun lepas bertajuk “Dunia pada 2050” mengenalpasti China, India, Filipina, Mesir diikuti Malaysia termasuk di kalangan 26 negara teratas. Ini menunjukkan negara Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk jangka masa panjang hasil pengurusan ekonomi yang baik oleh kerajaan masa kini.

Timbul banyak spekulasi mengenai amaran yang dikeluarkan oleh agensi penarafan kredit Standard & Poor’s (S&P)dan Moody’s Investors Service terhadap hutang negara tapi harus diingat kembali pandangan ini menurut kaca mata pihak barat semata2.. IMF pada 1997 pernah mengatakan ekonomi Malaysia akan mengalami masalah teruk apabila Dr Mahathir selaku perdana menteri Malaysia enggan meminjam wang dari IMF untuk mengatasi kegawatan ekonomi pada masa itu dan melaksanakan tambatan ringgit malaysia pada US dollar walaupun pinjaman kepada IMF dicadangkan oleh Anwar Ibrahim yang sebelum itu yang merupakan menteri kewangan. Namun ternyata apa yang kerajaan buat pada masa itu betul dan negara kita dapat keluar dari masalah kegawatan ekonomi lebih cepat dari negara2 membangun yang mengalami banyak kesengsaraan akibat pelbagai syarat yang dikenakan IMF untuk meminjam wang tersebut.Ini menunjukkan tidak semestinya apa yang dinyatakan atau dikeluarkan oleh apa-apa agensi yang dikatakan bertaraf dunia betul dan rakyat Malaysia harus takut pada apa yang dikatakan mereka.. Tambahan pulak nampak sangat kewujudan unsur-unsur kepentingan politik pihak tertentu di Malaysia dalam menghebahkan hal ini untuk menakutkan rakyat Malaysia dalam mempercayai kerajaan Malaysia dibawah Dato Seri Najib pada masa ini..