11 September 2012

Langat 2: Pusat berlagak ‘pembuli dan samseng’

24 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam sikap kerajaan Persekutuan kerana cuba berlagak sebagai ‘pembuli dan samseng’ apabila ingin meneruskan agenda projek Loji Rawatan Air Langat 2 walaupun tidak mendapat lampu hijau daripada kerajaan negeri.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa cukup kecewa dengan tindakan kerajaan persekutuan yang telah membelakangkan kerajaan negeri Selangor,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Pusat tanpa rasa malu telah mengeluarkan iklan tender bagi projek bernilai berbillion ringgit itu di laman sesawang Syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) - sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dengan tarikh tutup tawaran tender itu ialah pada 20 November 2012.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor cukup yakin dan percaya bahawa Umno dan Barisan Nasional yang mendalangi pengkhianatan di dalam isu pembinaan Langat 2 ini sudah semakin terdesak untuk mendapatkan ‘duit mudah’ bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 dan bukan semata-mata membina loji ini untuk kepentingan rakyat,” ujarnya.

Hasbullah berkata, pihaknya turut kesal terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet berkenaan isu itu yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah menunjukkan sikap dan akhlak seorang pemimpin yang tidak menghormati konsep federalisme dan bersikap khianat terhadap kepimpinan Sultan Selangor selaku pemerintah negeri yang berdaulat.

Oleh itu, tegasnya Pemuda PAS negeri menggesa kerajaan persekutuan menarik semula tender Langat 2 yang sudah diiklankan itu serta memanggil kerajaan negeri di meja rundingan untuk menyelesaikan kemelut itu.
Beliau menambah, pihaknya juga meminta kerajaan negeri supaya mengambil sebarang langkah yang perlu bagi membalas pengkhianatan yang dilakukan itu sekiranya Pusat masih berdegil.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: