11 September 2012

Dr Halimah ucap selamat berjaya kepada calon UPSR

24 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Saya mengharapkan pelajar kita belajar untuk berjaya dalam kehidupan kita dengan melalui peperiksaan yang hanya mengukur kejayaan mereka menguasai elemen ilmu, pengetahuan dan kemahiran penting dalam mengurus hidup diri, keluarga dan masyarakat melalui penggunaan bijak lambakan sumber-sumber yang dikurniakan Ilahi,” kata Dr Halimah Ali.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor itu menyatakan demikian di dalam blognya sempena peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.

Justeru, beliau yang juga Adun Selat Klang itu mendoakan semua calon-calon peperiksaan awam akan berjaya memperolehi keputusan peperiksaan yang terbaik.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) BERMULA 11/9/12. Demam peperiksaan ini bukan sahaja melanda pelajar yang menjadi calon setiap tahun tetapi juga ibu bapa, lebih-lebih lagi si ibu.

Naluri ibu bapa mahu melihat anak berjaya dalam merangkul semaksima mungkin A dalam ujian ini. Bolehlah dikongsi bersama keputusan anaknya dengan keluarga, sahabat handai, jiran tetangga bahkan ibu bapa rakan-rakan sekolah anaknya.

Bagi ibu bapa yang di kalangan yang bergelar terpelajar, sudah tentu tekanan ini jauh lebih tinggi daripada ibu bapa yang berpendidikan sederhana kerana mereka akan diselubungi malu berlipat kali ganda kerana dilihat seolah gagal mendidik anak.

Ibu bapa yang miskin tetapi mempunyai daya mahu berubah akan memberi segala-galanya untuk mempastikan anak mereka mencapai yang terbaik. Mereka bersungguh mahukan anak mereka mendapat pendidikan yang secukupnya untuk mempastikan kualiti hidup mereka lebih baik daripada diri mereka. Keringat diperah, tulang empat kerat ligat melorong anaknya ke lorong kejayaan. Diakhiri dengan kedua tangan diangkat untuk berdoa, bermunajat.

Tulus ikhitiar ibu dan bapa untuk buah hati yang bertempur di atas kertas, namanya ujian atau peperiksaan.

Bermula dengan UPSR, PSRA, PMR, SMA,SPM, STAM,STPM......hingga ke menara gading. Ibu bapa terus berkorban wang ringgit, air peluh dan air mata bagi mempastikan si anak berjaya membawa pulang kertas yang tercetak markah terbaik, keputusan cemerlang, mumtaz....

Walaupun keputusan ujian atau peperiksaan ini bukan segala-galanya tetapi ia telah memukau ramai ibu bapa, anak-anak hingga ke pemutus dasar untuk riuh gempita tentang isu yang dianggap amat besar ini. Fenomena tahunan.....tiada yang baru.

Namun natijah daripada keputusan yang buruk akan menjadi petanda awal tentang kesukaran masa depan pelajar ini. Di kira kurang cerah. Akan payah mendapat pekerjaan atau sumber pendapatan yang mencukupi dan kualiti hidup merudum dan kurang dihormati masyarakat.

Justeru, persiapan rapi sepatutnya dilakukan oleh semua pihak untuk mempastikan kejayaan pelajar menghadapi peperiksaan. Sindrom demam peperiksaan disebabkan stress memuncak di ambang peperiksaan boleh menjadi wabak yang lazim sekiranya fenomena belajar intensif di saat akhir dibiarkan bercambah dan berakar umbi sebagai norma di kalangan pelajar.

Saya mengharapkan pelajar kita belajar untuk berjaya dalam kehidupan kita dengan melalui peperiksaan yang hanya mengukur kejayaan mereka menguasai elemen ilmu, pengetahuan dan kemahiran penting dalam mengurus hidup diri, keluarga dan masyarakat melalui penggunaan bijak lambakan sumber-sumber yang dikurniakan Ilahi.

Saya mendoakan semua calon-calon peperiksaan awam akan berjaya memperolehi keputusan peperiksaan yang terbaik.

Usaha, usaha, usaha
Berdoa
Bertawakkal

Mudah-mudahan berjaya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: