11 September 2012

Pekerja Binaan Dikurung Lapan Jam Dalam Kandang Anjing

24 Syawal 1433H. [MOD] -

MELAKA: Kunjungan ke sini dari Pulau Pinang untuk bertemu rakan di Facebook bertukar menjadi mimpi ngeri buat pekerja pembinaan berusia 28 tahun apabila sekumpulan lelaki mengurungnya di dalam kandang anjing selama lapan jam.

Lebih mengerikan anjing jenis German Shepherd itu dibiarkan berkeliaran untuk mengawasinya.

Mangsa yang berasal dari Tok Kangar, Juru, di Bukit Mertajam mendakwa dia ditahan lima lelaki selepas bertemu dengan rakan di sebuah restoran di Ayer Keroh di sini pada 1 September.

Salah seorang lelaki mendakwa dia merupakan pak cik kepada rakannya yang mahu mangsa menjauhkan diri daripada gadis tersebut.

Lelaki tersebut didakwa merampas MyKad mangsa dan mengancam untuk memenjarakannya.

Mangsa kemudiannya dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta dan dibawa ke sebuah rumah di Bukit Berendam.

Di situ, mangsa dikurung di dalam kandang dengan seekor anjing jenis German Shepherd dibiarkan berkeliaran untuk mengawasinya.

Selepas lapan jam, mangsa dikeluarkan dari kandang tersebut tetapi dikurung di dalam sebuah bilik.

Mangsa mendakwa sekumpulan lelaki berkenaan mengambil dompetnya yang berisi wang sebanyak RM168 dan dua telefon bimbit.

Mereka juga mengancam untuk memukulnya.

Mangsa berjaya meloloskan diri apabila pintu bilik terbuka dan melompat keluar pagar ketika sekumpulan lelaki terbabit sedang leka.

Dia kemudiannya meminta pertolongan daripada jiran berdekatan yang bertindak menghubungi abang mangsa di Melaka.

Abangnya mengambil mangsa dan memandu pulang ke Pulau Pinang serta membuat laporan polis di Ibu Pejabat polis daerah Seberang Perai Tengah pada 2 September.

Kes itu dirujuk kepada pihak polis di sini.

mstar/-

Tiada ulasan: