01 November 2012

AES: MP Pakatan desak Cho Ha masuk dewan

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha hadir ke Dewan Rakyat bagi menjawab isu Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang banyak mendapat bantahan daripada pengguna jalan raya.

"Menteri kena hadir, menteri tidak boleh lari dari menjelaskan kepada dewan," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Sebaik sesi soal jawab selesai, Ahli Parliman Batu Gajah Fong Po Kuan bangkit mengemukakan peraturan mesyuarat agar Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggunakan budi bicaranya untuk memanggil Menteri Pengangkutan menjawab isu yang dibangkitkan khususnya berkaitan AES.

Mahfuz yang turut menyokong peraturan mesyuarat itu meminta Pandikar Amin menggunakan budi bicaranya untuk menasihat menteri berkenaan.

Fong Po Kuan turut membidas menteri terbabit kerana tidak berani untuk berdepan dengan Ahli Parlimen.

"Menteri perlu mengambil tanggungjawab dalam dewan, ini adalah penting, dia tidak pernah menjawab sekali pun dalam dewan. Dia berani buat kenyataan di luar sahaja," katanya.

Menurut Fong, bukan sahaja Pakatan Rakyat yang tidak bersetuju dengan AES bahkan Ahli Parlimen Sri Gading (BN) dan Ketua Pemuda Umno juga mendesak agar sistem ini ditangguhkan.

"Kalau macam itu, kita guna kamera AES ini mahu tangkap menteri!," celah Mahfuz.

Bagaimanapun, Pandika Amin menjelaskan beliau tidak boleh memberi nasihat kepada menteri berkenaan sama ada tidak hadir atau tidak mahu menjawab soalan.

"Apa yang dibangkitkan oleh Pokok Sena dan Batu Gajah, terpulang kepada menteri sama ada mahu datang atau tidak," katanya.

HARAKAH/-

Tiada ulasan: