01 November 2012

Kon makin sempitkan jalan

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Jamaludin Mat Isa
Keadaan jalan rosak ini membahayakan keselamatan orang ramai.
 
TEMERLOH - Orang ramai meminta pihak berkenaan membaiki segera kerosakan jalan berdekatan simpang empat Temerloh, Mentakab dan Jerantut kerana keadaan laluan tersebut boleh membahayakan keselamatan pengguna.

Peniaga, Jamaludin Mat Isa, 56, berkata, masalah itu dipercayai berlarutan sejak lebih dua bulan lalu menyebabkan pengguna bimbang ia menjadi punca kemalangan.

Menurutnya, pemandu dari arah Temerloh atau Mentakab yang mahu ke Jerantut terpaksa melalui bahagian kanan jalan menyebabkan kenderaan bertembung dari arah hadapan.

“Masalah ini sudah lama berlarutan hingga pengguna berasa tidak selamat. Walaupun kon diletakkan sebagai tanda amaran, namun tindakan itu menyebabkan jalan menjadi semakin sempit.

“Tambahan pula kenderaan semakin banyak terutama kenderaan berat yang boleh mengundang kemalangan,” katanya.

Jamaludin berkata, dia juga bimbangkan keselamatan pelajar yang berulang-alik ke sekolah setiap hari.
Sehubungan itu katanya, dia berharap pihak berkenaan dapat mengambil perhatian serius berhubung masalah tersebut untuk memberi keselesaan kepada orang ramai.

“Jalan ini berdekatan kawasan perindustrian, perumahan penduduk dan premis perniagaan menyebabkan ia dilalui pelbagai kenderaan setiap masa. Jika berlaku kemalangan, siapa harus dipersalahkan?” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: