01 November 2012

Syria: PAS cadang adakan p’raya dikendali OIC

16 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


TEMERLOH: PAS berpandangan kemelut di Syria mesti diselesaikan melalui satu pungutan suara rakyat negara itu secara adil dan saksama.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, campurtangan kuasa asing bukan sahaja tidak menyelesaikan kemelut di negara iru malah hanya memburukkan lagi keadaan.

“Sebuah pilihan raya yang diselenggara oleh Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) mesti diadakan segera.

"PAS bertegas menentang sebarang campurtangan kuasa asing di Syria, samada ianya ditaja oleh kuasa barat atau timur,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

PAS, katanya melahirkan dukacita di atas tindakan badan dunia yang terus membiarkan kezaliman berlanjutan, sehingga mengorbankan ribuan nyawa rakyat Syria.

Kata Tuan Ibrahim, tindakan tersebut nyata sangat jauh bezanya dengan tindakan segera badan antarabangsa di Libya, Iraq dan Afghanistan.

“Sikap double standard ini akan hanya merendahkan martabat dan kedudukan badan dunia di mata umat Islam khasnya dan mereka yang cintakan keadilan dan kesaksamaan,” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu lagi.

Tuan Ibrahim juga menegaskan bahawa pendirian rasmi PAS berhubung isu keganasan Bashar di Syria sangat jelas iaitu menentang kezaliman pimpinan Syria terhadap rakyatnya dan mendesak Bshar turun dari tampuk pemerintahan.

"Kezaliman adalah kegelapan di hari akhirat. Dan kita tidak sesekali menyokong kezaliman ke atas rakyat Syria.

"Bahkan kezaliman pemimpin ke atas rakyat sendiri adalah malapetaka besar yang sering berlaku di dunia Islam semata-mata dalam usaha mempertahankan kekuasaan yang ada,” tegas beliau.

Bagi mana-mana ahli PAS yang memberikan pendapat yang berbeza dengan parti dalam isu Syria, Tuan Ibrahim berkata itu hanya pandangan peribadi mereka.

harakah/-

Tiada ulasan: