07 November 2012

Apa usaha Jakim beri kefahaman berkenaan hudud

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta menyatakan apakah usaha Jakim melalui agensi-agensi berkaitan seperti Yadim, Majlis Fatwa Kebangsaan, TV AL-Hijrah dan Radio Ikim dalam memahamkan berkenaan perundangan Islam, Hudud, Qisas dan Takzir. Demikian pertanyaan bagi jawab lisan yang dikemukakan Dr. Mohd Hatta Md Ramli [PAS-Kuala Krai] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. Ahli-ahli Parlimen PAS yang turut mengemukakan pertanyaan bagi jawab lisan hari ini seperti di bawah. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [Bukit Gantang] meminta Menteri Pelajaran menyatakan kenapa Pentaksiran Berdasarkan Sekolah diperkenalkan di sekolah-sekolah Kerajaan, sedangkan banyak sistem operasi on-line tidak berkesan dan "lambat". Mengapa Kementerian Pelajaran tidak mahu memberi elaun tambahan untuk guru-guru yang terpaksa memasukkan (key-in) markah dan maklumat di rumah, yang melibatkan masa bersama keluarga dan terpaksa membayar bil elektrik yang tinggi serta para guru terpaksa melanggan broadband untuk membuat kerja sekolah? Mohd. Abdul Wahid Endut [Kuala Terengganu] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah kejadian letupan loji di Kompleks PETRONAS Kerteh semenjak ia beroperasi serta nyatakan punca dan akibat kejadian dan langkah-langkah mengatasinya. Datuk Dr. Mohd Hayati Othman [Pendang] minta Perdana Menteri menyatakan berhubung peratus saham FGV yang dilanggan oleh individu, syarikat, peneroka dan apakah nama dan peratus syarikat yang melanggan saham terbabit termasuk di dalam dan luar negara. Che Uda Che Nik [Sik] minta Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi menyatakan industri getah negara banyak melibatkan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar berbanding dengan Industri sawit yang melibatkan ladang-ladang besar dan GLC yang kaya raya. Apakah langkah yang di ambil oleh Kerajaan untuk menstabil harga getah dalam memastikan pekebun kecil tidak terus tertindas dan terus berada dalam kemiskinan kekal. Mohd. Nasir Zakaria [Padang Terap] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan anggaran kos tambahan yang diperlukan oleh Projek Rancangan Pengairan Bukit Sena Padang Terap bagi membolehkan ia beroperasi dengan sempurna. Nasharudin Mat Isa [Bachok] minta Menteri Kewangan menyatakan bilakah kali terakhir kakitangan MAS menerima bonus dan adakah penyelarasan semula gaji mereka akan dilakukan dalam tempoh terdekat. Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan “roadmap” Kualiti Petrol (Fuel Quality) untuk kenderaan bagi meningkatkan keberkesanan penggunaan petrol dan diesel untuk pengguna.(HD)

Tiada ulasan: