07 November 2012

Kalau parti putus tanding di Sabah saya OK !

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: "Kalau pimpinan PAS mengarahkan saya bertanding di Sabah atau Sarawak pun, saya akan pergi," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) hari ini. "Saya tidak boleh buat keputusan sendiri, kita terima senarai calon kemudian bincang bersama dan mesti patuh kepada keputusan parti. "Kalau parti kata tidak bertanding, maka tidak bertandinglah. Kalau bertanding maka bertandinglah. "Dan di mana sahaja bertanding sekalipun, kalau bertanding di Pekan, Pekan lah. Kalau bertanding di Sabah, Sarawak, maka di Sabah Sarawaklah," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat bulanan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut. Barisan pimpinan tertinggi PAS Pusat yang turut bersama di dalam sidang media itu terus ketawa sebaik sahaja wartawan meminta Abdul Hadi memberi respons berhubung hasratnya untuk bertanding di Pekan. Abdul Hadi mendapat perhatian media ekoran beliau menyatakan kesediaan untuk melawan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di parlimen Pekan dalam pilihan raya nanti. Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kenyataanya untuk bertanding di Pekan adalah sebagai mesej kepada ahli dan parti bahawa beliau bukan seorang diktator. "Kenyataan itu adalah mesej kepada seluruh ahli-ahli parti yang menyokong parti supaya yang pertama, saya bukan diktator dalam parti," katanya. Pilihan raya Sehubungan itu, Abdul Hadi juga memberitahu PAS sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya ke-13 pada bila-bila masa. "Daripada taklimat diberikan dalam mesyuarat hari ini, kita sudah siap 90 peratus dari keperluan pilihan raya," katanya. Antara perkara utama yang dibincangkan adalah persiapan Muktamar PAS kali ke-58 yang akan berlangsung pada 14 hingga 18 November di Kota Bharu Kelantan. Mesyuarat kali ini turut membincangkan beberapa perkara penting di peringkat antarabangsa termasuklah konflik yang dihadapi oleh umat Islam Rohingya, masalah di Filipina dan kezaliman terhadap rakyat Syria. Turut bersama dalam sidang media petang tadi, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Penolongnya Datuk Takiyuddin Hassan.(HD)

Tiada ulasan: