07 November 2012
Kerajaan peruntuk RM3 bilion bagi BR1M 2.0
22 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
Kerajaan memperuntukkan RM3 bilion bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0) mulai Januari 2013, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.
Pembayaran itu akan dilakukan menjelang 15 Januari sehingga 15 Mac, 2013, katanya kepada pemberita hari ini.
Pendaftaran bagi BR1M bermula 1 Nov sehingga 31 Dis, 2012.
"Permohonan bermula 1 November sehingga 31 Disember. Kita harap sesiapa yang tidak membuat permohonan semasa BR1M yang pertama, harap mereka akan buat pada kali ini," katanya di luar acara seminar jualan dua hari oleh pakar jualan dan pemasaran, Bob Urichuck hari ini.
Seminar itu dianjurkan oleh Kumpulan Syarikat Job Hunt dan menarik lebih 300 peserta.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan BRIM 2.0 semasa membentangkan Belanjawan 2013 di Parlimen pada 28 September.
Rakyat yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan layak mendapat bantuan tunai RM500.
Mengenai pilihan raya Presiden AS, Lim berkata Malaysia gembira dengan hubungan semasa dengan AS.
"Amerika adalah satu negara penting. Amerika ialah negara dagangan ketiga terbesar kita yang berjumlah 10 peratus daripada keseluruhan perdagangan kita," katanya. (Bernama)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan