07 November 2012

Nazrin: Adakah Raja dikehendaki membisu bila rakyat gelisah?

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - 


Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertanya adakah Raja-Raja Melayu wajar terus berdiam diri membisu seribu bahasa ketika institusi-institusi kerajaan kelihatan semakin 'terseret dalam kancah politik kepartian'.

Menurut baginda, integriti, profesionalisme, imej neutral serta tidak partisan institusi tersebut yang semakin dipertikaikan, menghakis rasa hormat dan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.

"Suasana ini jika berlarutan memungkinkan warga beralih kepada opsyen-opsyen lain, memungkinkan berlakunya suasana tanpa perundangan, memungkinkan negara terjerumus ke dalam anarki.

"Adakah dalam suasana kegelisahan warga ini Raja dikehendaki bersifat pasif membisu seribu bahasa?" soal baginda ketika menyampaikan Syarahan Perdana Budaya bertajuk 'Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa' di Kuala Lumpur petang tadi.

Baginda sebelumnya menegur "gelagat-gelagat politik keterlaluan" yang mengganggu kemakmuran negara.

"Politik menjelma dalam bentuk ketaksuban dan mendominasi tata urus negara sehingga penglihatan, pendengaran, pengucapan, kegiatan dan penggunaan sumber semakin berpaksikan politik.

"Matlamat jangka pendek politik bagaikan mengatasi kepentingan jangka panjang kelangsungan negara bangsa," titah baginda.

Baginda turut menegur hubungan Persekutuan dan kerajaan negeri yang kini "menjelmakan dimensi baru sehingga memeningkan kepala kakitangan awam yang berkhidmat di negeri-negeri".

Menurut baginda, pegawai-pegawai menghadapi dilema apabila berkhidmat di negeri-negeri yang berlainan parti dengan kerajaan Persekutuan.

"Berlaku keadaan pegawai-pegawai awam Persekutuan yang bertugas di negeri dilarang menghadiri acara-acara rasmi di peringkat negeri termasuk acara yang dihadiri Raja.

"Demikian juga dilaporkan pegawai-pegawai negeri turut dilarang menyertai acara anjuran Persekutuan.

"Kelainan politik antara negeri dan Persekutuan jangan sampai menjejaskan hubungan warga hingga memungkinkan warga kembali bersifat parokial kenegerian, lalu semakin tipis kesetiaan kepada negara bangsa," katanya.(MK)

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Liya
Baguslah jika benar Nazrin memiliki kesedaran yang tinggi, tapi sayangnya jangan sekadar bercakap saja.Sepatutnya beliau memulakan tidakan susulan sebagai pengerak kepada seluruh raja2. Lebih2 lagi bilamana Islam dihina dan keji kerana raja sebagai ketua agama tidak sedikit pun memperlihatkan sikap mereka yang diberi amanah untuk menjaga agama Islam. Kemanakah hilangnya harga diri mereka. sedangkan seluruh rakyat yang beragama begitu terluka, terhina. Hingga kini tidak ada seorang raja pun bersuara. Untuk apa mereka di anugerah sebagai ketua agama. Tapi setiap jumaat orang Islam akan berdoa untuk kesejahteraan mereka. Tapi pernah kah mereka menghargai doa dari orang islam.Orang islam benar berharap agar raja2 akan menjaga agama islam. Harapan hanya tinggal harapan mereka hanya hayal dengan kemewahan yang mereka miliki dari hasil penat lelah rakyat.Sedar wahai raja2jangan nanti tiba masa raja sudah tidak memberi erti lagi kepada rakyat.

Tanpa Nama berkata...

zzzzzzzzzzzzzzzzzzz......zzzzzzz