22 Muharram 1433H. [MOD] -
Separuh
daripada syarikat-syarikat yang beroperasi di Malaysia yang ditinjau
telah melaporkan bahawa mereka telah kehilangan kontrak atau perniagaan
kepada pesaing kerana rasuah sepanjang tahun lalu, demikian menurut satu
kajiselidik antarabangsa.
Presiden Transparency International-Malaysia, Datuk Paul Low
menyifatkannya sebagai satu respon yang luar biasa tinggi, dan langkah
lebih berani perlu diambil untuk menghapuska proses yang menggalakkan
penyelewengan.
Low memetik data dari Kajiselidik Pembayar Rasuah
yang meninjau syarikat di 30 negara dengan tahap pelaburan dan
perdagangan antarabangsa yang tinggi, termasuk 101 syarikat di Malaysia.
Antara soalannya ialah: "Sepanjang 12 bulan lepas, adakah
anda fikir syarikat anda telah gagal memenangi kontrak atau mendapat perniagaan baru kerana pesaing telah membayar rasuah?"
Kajiselidik
itu adalah salah satu daripada lapan tinjauan yang diambil kira apabila
mengira Indeks Persepsi Rasuah Malaysia 2012, yang diumumkan semalam,
di mana negara ini disenaraikan pada kedudukan 54 daripada 176 -
bertambah baik enam anak tangga daripada tahun lepas.
"Ini adalah satu soalan 'sebenar' - ia bukannya mengenai persepsi (rasuah) - (jawapannya) sama ada 'ya' atau 'tidak'.
"Saya
tunjukkan kepada anda (data ini) kerana ini mencerminkan realiti,
bukannya apa yang orang panggil 'persepsi'," kata Low dalam sidang
akhbar ketika mengumumkan indeks tersebut.
Low berkata beliau membangkitkan perkara itu bagi menunjukkan bahawa rasuah mempunyai kos ekonomi.
Daripada
syarikat-syarikat yang dikajiselidik, 39 di Malaysia menjawab secara
afirmatif dan 39 menjawab negatif. Baki 23 lagi berkata mereka tidak
tahu, atau tidak menjawab soalan.
Malaysia mempunyai nisbah tertinggi syarikat - 50 peratus - yang menjawab 'ya' kepada soalan tersebut.
Ini
berbanding dengan 47 peratus di Indonesia, 36 peratus di India, 30
peratus di Amerika Syarikat, 27 peratus di China, 24 peratus di Nigeria,
17 peratus di United Kingdom, 10 peratus di Hong Kong, 9 peratus di
Singapura - dan yang paling rendah - 2 peratus di Jepun.
Kajiselidik
yang sama juga mendapati 75 peratus daripada syarikat Malaysia percaya
bahawa usaha anti-rasuah kerajaan dalam sektor swasta adalah tidak
berkesan, meletakkannya di kedudukan keempat.
malaysiakini/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan