WASHINGTON - Permata akuamarin potongan tunggal terbesar di dunia
akan dipamerkan bermula di Muzium Sejarah Semula Jadi di sini mulai hari
ini.
Dilombong di Brazil pada tahun 1980-an dan dinamakan sempena dua
maharaja pertama negara itu, batu Akuamarin Dom Pedro bakal menjadi
kebanggaan muzium tersebut yang merupakan sebahagian daripada Institut
Smithsonian di Amerika Syarikat.
"Kualiti kristal asal, saiz dan warna biru hijau serta potongan
tersendiri menjadikan ia permata yang jarang sekali ditemui," kata pihak
muzium itu menerusi satu kenyataan.
Berbentuk seperti tiang dan direka bentuk oleh pereka barang kemas
terkenal Jerman, Bernd Munsteiner, panjang permata itu ialah 35.5
sentimeter manakala beratnya mencecah dua kilogram (10,363 karat).
"Akuamarin Dom Pedro merupakan kombinasi kristal yang amat jernih dan
kaya dengan warna serta digarap dengan kemahiran unik seorang tukang
permata yang terkemuka," kata kurator koleksi permata muzium berkenaan,
Jeffrey Post.
Koleksi permata dan mineral Institut Smithsonian itu merupakan antara yang terbesar di dunia. - AFP
sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan