04 Februari 2013

Hak milik tanah serta masalah kemudahan asas penduduk Sealine Baru masih diabaikan

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

MIRI - Kampung Sealine Baru terletak hanya 11 km dari bandaraya Miri,

terletak di simpang ke SK Senadin / Desa Senadin / Universiti Curtin.
Kebanyakan penduduk di situ adalah kaum Iban dan terdapat juga orang
Melayu.

Kampung Sealine telah bergabung dengan Kampung Senadin Tetap untuk
membentuk Kampung Senadin Jaya sebagai sebahagian daripada program
lanjutan kampung. Malangnya, DUN Senadin yang telah mendapat nama 15
tahun yang lalu dari Kampung Senadin telah diabaikan oleh wakil rakyat
BN, kepentingan penduduk kampung atau kebajikan mereka tidak dijaga
dengan baik atau masalah mereka tidak diketengahkan oleh wakil BN
kepada kerajaan negeri untuk diselesaikan setelah sekian lama mereka
menunggu.

Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk kampung ialah tidak
mempunyai bekalan air bersih dan juga  bekalan elektrik. Penduduk
kampung berkongsi satu meter air dengan 10 orang lain dan untuk
mendapatkan bekalan elektrik mereka terpaksa menggunakan bateri kereta
atau Genset .

Mereka sudah beberapa kali mengadu dan merayu kepada bekas Timbalan
Ketua Menteri Sarawak dan ahli Dewan Undangan Negeri dan juga ahli
Parlimen bagi kawasan mereka untuk menyalurkan bekalan air dan
elektrik ke kampung mereka tetapi sehingga kini janji hanya tinggal
janji kosong saja.

Mereka hanya datang membuat berbagai janji sewaktu musim pilihanraya
tetapi selepas itu jarang sekali mereka datang semula berjumpa dengan
penduduk kampung di situ. Ini semua sebahagian daripada gimik pilihan
raya saja untuk meraih undi, menurut penduduk kampung yang tidak mahu
namanya disiarkan kepada pihak kami.

Katanya lagi, orang-orang kampung yang telah diberikan lot tanah pada
Mac 2011 menghadapi masalah untuk masuk ke tanah mereka disebabkan
tiada jalan masuk serta tiada sistem perparitan yang sempurna di mana
ada kawasan tertentu mudah dilanda banjir kilat sewaktu musim hujan
lebat.

Kita juga mendapat maklumat yang wakil BN bekerjasama dengan Jabatan
Tanah dan Ukur telah mengeluarkan surat tawaran tanah (surat tawaran
lot kediaman) pada Mac 2011 sebelum pilihan raya negeri yang lepas
kepada 288 penerima berkelayakan daripada 460 lot yang dikeluarkan.

Pihak kerajaan perlu mempercepatkan penyerahan hak milik tanah dan
menyediakan infrastruktur serta kemudahan asas (sistem perparitan,
jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik) ke kampung
Sealine Baru di Lutong.

Kita menggesa agar pihak berkuasa tempatan dan mereka yang berkenaan
untuk segera menunaikan janji dan menyediakan kemudahan asas seperti
yang dikehendaki oleh penduduk kampung Sealine selama ini.

Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah
penduduk kampung ini dari terus berlarutan sangat dihargai.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: