04 Februari 2013

Pas: 'Zambry makin terdesak'

Fakhrurrazi Khalid23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Fakhrurrazi
PARIT BUNTAR - Kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang mendakwa Pakatan Rakyat (PR) menjadikan isu kewujudan pocong sebagai bahan kempen pilihan raya adalah tidak berasas.

Ketua Penerangan Pas Kawasan Parit Buntar, Fakhrurrazi Khalid berkata, kenyataan tersebut adalah cubaan menutup pelbagai kepincangan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Parit Buntar dan mengalih perhatian rakyat terhadap isu utama seperti masalah pembinaan Hospital Kerian, masalah pengagihan tapak lot penempatan Kampung Tersusun Raja Bashah, Kuala Kurau dan peralihan sokongan pengundi cina kepada PR.

“Saya percaya beliau terdesak menggunakan apa jua sumber yang dikutip dari ‘tepi longkang’ untuk mengalihkan perhatian masyarakat terhadap isu lebih serius yang boleh menjejaskan integriti kepimpinan BN dan kerajaan negeri di Dun Kuala Kurau dan Parit Buntar.

“Di Kampung Raja Bashah sendiri, setelah kejadian kebakaran berlaku di penempatan kampung itu 10 tahun dahulu, terdapat beberapa individu menyokong PR tidak diberikan lot penempatan di kampung tersusun yang sedang dibina tanpa sebab jelas.

“Pada masa sama, projek pembinaan kampung tersusun yang sedang giat dijalankan juga tidak dilaksanakan secara sistematik dan mempunyai banyak masalah berbangkit seperti tanah mendap dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Fakhrurrazi berkata, Zambry sepatutnya ‘membantu’ Umno Bahagian Parit Buntar menjawab beberapa isu utama melibatkan kepentingan penduduk seperti pembinaan Hospital Kerian yang difahamkan tidak memenuhi kapasiti bilangan katil sebagaimana dijanjikan perdana menteri sebelum ini sebanyak 300 katil.

“Sebaliknya, saya difahamkan melalui media bahawa hospital itu hanya menyediakan bilangan katil sebanyak 150 sahaja,” katanya.

Fakhrurrazi turut menggesa BN dan kerajaan negeri tidak bersikap ‘baling batu, sembunyi tangan’ dengan mengada-adakan isu yang tidak munasabah untuk menutup kepincangan sendiri.

Sementara itu, Adun, Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari sedih dengan kenyataan Zambry yang sanggup merendahkan kedudukannya untuk mengadakan cerita ‘dongeng’ tersebut.

“Saya percaya kenyataan terdesak itu disebabkan beliau (Zambry) cuba hendak mengalihkan isu kegagalan projek Hospital Kerian, perpecahan dalaman Umno bahagian Parit Buntar akibat perebutan calon dan sikap pengundi cina yang sudah beralih arah.

“Apapun, saya berterima kasih dengan menteri besar yang sudi meluangkan masa memberi publisiti kepada kami dengan mengemukakan tohmahan mengarut dan tidak masuk akal untuk membodohkan rakyat,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: