19 Mac 2013

Bas terbabas elak monyet

7 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Bas terbabas elak monyet

Bas ekspres yang membawa 19 penumpang bersama dua pemandu terbabas selepas cuba mengelak seekor monyet.
MARAN - Gara-gara mahu mengelak seekor monyet melintas, seramai 19 penumpang bersama dua pemandu sebuah bas ekspres nyaris maut apabila kenderaan itu terbabas lalu merempuh pengadang jalan di Kilometer 142.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat susur keluar Paza Tol Chenor, kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, bas ekspres dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

“Kejadian berlaku akibat pemandu gagal mengawal kenderaan selepas cuba mengelak seekor monyet yang secara tiba-tiba melintas dari tepi jalan ke tengah laluan lebuh raya.

“Ia menyebabkan bas terbabas ke sebelah kiri jalan lalu merempuh pembahagi jalan sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan bas," katanya.

Sulaiman berkata, ketika kejadian, hampir kesemua penumpang termasuk seorang pemandu tambahan sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas bas terbabas.

Menurutnya, penumpang yang terselamat dibawa ke destinasi tujuan menggunakan sebuah bas ganti dari syarikat sama.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: