19 Mac 2013

Bukan gemilang tetapi Ladang yang malang

7 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


(Kampung Ladang Tok Pelam yang bakal lenyap)

KUALA TERENGGANU: Sebut saja apa kraftangan tradisi yang tidak dihasilkan di Kampung Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.

Dari pertukangan keris, emas, tembaga, perak hinggalah songket boleh diperolehi di kampung tradisi yang terletak di bandaraya Kuala Terengganu ini.

Namun, kini tragedi besar sedang melanda kampung tradisi ini. Ia sedang dihancurkan oleh kerajaan negeri Terengganu kononnya demi pembangunan.

Terletak di pinggir pusat Bandaraya Warisan Pesisir air @ Kuala Terengganu. 

Kampung yang dibina di tanah wakaf dan juga tanah persendirian menjadi rebutan di kalangan pelbagai pihak kerana kedudukannya yang strategik. 

Sejak 80-an, kampung berkenaan dirancang untuk dibersihkan tetapi rancangan tersebut selalu gagal dan sehingga kini, rancangan untuk merobohkan kampung telah berjalan.

Itu sahajalah kampung Melayu yang kekal di bandaraya ini (bandaraya ke?). Terengganu telah menyaksikan beberapa kepupusan kampung tradisi seperti Kampung Keling dan Kampung Putera di kawasan Bazar Warisan yang baru siap dibina. 

Kampung terbabit dirobohkan kerana pembinaan tempat letak kenderaan. Kini, Bazar Warisan dibina menggantikan tempat letak kenderaan berkenaan. 

Kampung Paya Bunga juga tiada kini kerana memberi laluan kepada pembinaan asas Bandaraya Warisan Pesisir Air ini.

Kehilangan mereka tidaklah dititikberatkan kerana sememangnya mereka berada di tapak asas bandaraya ini. 

Namun, apabila cadangan perobohan Kampung Ladang Tok Pelam diutarakan, ini menimbulkan rasa tidak puas hati. Johor Bahru ada Majidee dan Kuala Lumpur ada Kampung Baru. Bolehkah Kuala Terengganu mengekalkan Kampung Ladang Tok Pelam?

Rumah tradisi mereka dirobohkan dan mereka dipindah ke rumah flat yang dinamakan Ladang Gemilang.

Namun, flat 18 tingkat ini nama saja gemilang. Tiada tempat buangan sampah, tiada surau dan tangganya yang amat sempit. Lif pula selalu saja rosak.

Pernah berlaku, apabila seorang penghuninya meninggal, mayatnya terpaksa didokong hingga ke bawah akibat lifnya rosak.

Ketika dijanjikan, penduduk di sini dijanjikan mereka akan menduduki flat ini dengan sewa beli sebanyak RM165 sebulan.

Namun selepas diduduki, mereka dikenakan sewa RM300 dan terbaru dinaikkan lagi ke RM350 sebulan. Soal sewa beli sudah hilang kerana yang tinggal sewa selepasa tiga tahun berlalu.


Terbaru mereka dijanjikan selepas September nanti ia akan diserahkan kepada penduduk dan menjadikan sewa mereka RM300 sebulan itu sebagai deposit. Namun ia hanya berlaku selepas pru-13.

Orang yang sedang memperjuangkan nasib mereka kini adalah arkitek terkenal,  Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Di mana-mana beliau berucap, Raja Bahrin akan menceritakan penderitaan dan kemusnahan warisan budaya di bandaraya Kuala Terengganu ini.

"Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan, kita menggalakkan rakyat untuk berdikari dan membantu mereka untuk maju. Namun, sikap kerajaan yang ada tidak begitu, mereka mahu rakyat sentiasa bergantung kepada mereka," kata Raja Bahrin (gambar kanan) dalam satu pertemuan dengan penduduk Bukit Besar, 2 kilometer dari kampung Ladang Tok Pelam ini.

Bagi Raja Bahrin, cerita-cerita sedih yang berlaku kepada penduduk asal kampung ini amat menyayat hati.

"Bayangkan tuan-puan. Dulu mereka mengukir keris, tembaga dan perak. Sekarang di atas flat yang serba kekurangan ini, di mana mereka nak menempa barang-barang ini semua.

"Kat mana mereka nak letak peralatan membuat batek mereka. Kat mana mereka nak tempa dan bakar keris mereka. Semuanya tidak akan ada lagi.

"Akhirnya mereka terpaksa kerja di Mydin dan pasaraya yang lain. Dari hidup berdikari kini terpaksa makan gaji. Inilah yang dikehendaki kerajaan," cerita Raja Bahrin.

Raja Bahrin menegaskan beliau bukan anti pembangunan tetapi meminta kerajaan membuat pembangunan yang terancang.

"Di bandaraya kita ini banyak tanah kosong yang belum dibangunkan. Kenapa kita nak musnah kampung tradisi orang kita.

"Bagi saya ini bukan Ladang Gemilang tetapi Ladang yang malang," kata beliau kesal.

Raja Bahrin juga antara pihak yang sangat vokal menentang perobohan Pasar Payang Kuala Terengganu yang dicadangkan kerajaan BN.

Pasar itu hendak dirobohkan bagi membolehkan sebuah hotel lima bintang dan kondo mewah di bina di atas tapak itu.

Kononnya dibawahnya akan dibina pasar yang berhawa dingin.

"Kalau sudah pasar berhawa dingin, siapa yang akan berniaga di situ...pasaraya besarlah bukan lagi peniaga ikan, buah atau kuih muih Melayu lagi," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: