19 Mac 2013

Rumah, kereta pula disimbah cat merah

7 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Rumah, kereta pula disimbah cat merah

Keadaan rumah serta kereta selepas dibaling dengan cat bewarna merah.
KOTA TINGGI – Selepas menerima ‘hadiah’ batu nisan daripada pihak yang tidak diketahui hujung bulan lalu, sekali lagi keluarga Pengerusi Gabungan NGO Pengerang di sini menerima kejutan apabila rumah serta kereta mereka disimbah cat Sabtu lalu.

Menurut pengerusi NGO tersebut, Anis Afida Mohd Azli, kejadian tersebut disedari pada waktu pagi oleh ibunya yang ketika itu berada di rumah mereka di Bandar Penawar.

Menurutnya, berikutan kejadian itu dinding serta kereta milik ibu bapanya mempunyai kesan cat merah dipercayai dibaling oleh pihak yang tidak dikenali.

“Saya percaya kejadian itu dilakukan oleh pihak yang sengaja mahu menganiaya kami. Ekoran kejadian itu saya juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Penawar.

“Saya khuatir jika berlaku kejadian yang tidak diingini kepada keluarga di kemudian hari.

“Malah dalam masa sama dengan laporan yang dibuat ini diharap dapat memberi jaminan keselamatan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Pada 24 Februari yang lalu, Sinar Harian menyiarkan Anis bersama dua lagi ahli jawatankuasanya membuat laporan polis selepas menerima batu nisan yang tertera nama dan tarikh kematian masing-masing.

Batu nisan yang diterima Anis tertulis namanya dan digantung di hadapan pintu pagar rumah keluarganya di Bandar Penawar.

Salah seorang ahli jawatankuasa NGO tersebut, Yahaya Maspie pula menerima ‘hadiah’ yang sama tertulis namanya di hadapan rumahnya.

Manakala Setiausaha Cabang PKR Pengerang, Taufik Tahir pula menerima batu nisan berserta namanya di hadapan Bilik Gerakan di Kampung Teluk Ramunia, di sini.

Dalam kejadian itu Anis tidak menolak kebarangkalian insiden yang berlaku itu ekoran perjuangan dilakukan mereka berkaitan isu-isu yang berlaku akibat daripada Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: