10 Mei 2013

2 direman larikan peti undi

29 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

2 direman larikan peti undi
Laporan Sinar Harian pada 7 Mei berhubung kejadian tersebut.
TUMPAT – Dua lelaki di tahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes sekumpulan penyokong parti politik yang cuba melarikan peti undi, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Zaharudin Rasip berkata, tempoh tahanan lelaki terbabit akan berakhir pada 12 Mei ini selepas permohonan reman dibenarkan oleh Majistret Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri, di Mahkamah Majistret Tumpat.

“Lelaki terbabit berusia 66 tahun dan 30 tahun mempunyai pertalian ayah dan anak,” katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan kelancaran perjalanan undi di Kelantan dicemari tindakan sekumpulan penyokong parti politik yang cuba melarikan peti undi ketika perjalanan ke pusat penjumlahan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat.

Bagaimanapun, dengan ketangkasan anggota polis, peti undi berkenaan berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab dalam insiden pada jam 11.30 malam itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, rombongan peti undi yang dikawal ketat anggota keselamatan terbabit diserang kumpulan berkenaan tidak jauh dari lokasi yang dituju.

Katanya lagi, serangan itu menyebabkan ketua tempat mengundi dan seorang anggota polis masing-masing berusia 30 tahun mengalami kecederaan.

“Mereka datang menyerang kereta dengan menggunakan objek keras. Mereka bertindak agresif dengan memanjat ke atas bumbung kereta dan memecahkan cermin serta merampas kunci.

“Tindakan cekap anggota polis bagaimanapun berjaya menyelamatkan undi-undi terbabit sebelum berkejar dan menyerahkannya ke pusat penjumlahan di MRSM,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

Kes disiasat mengikut Seksyen 341, 427 dan 323 Kanun Keseksaan kerana khianat dan menghalang dengan salah.

sinar/-

Tiada ulasan: