10 Mei 2013

PAS ucap takziah buat keluarga adik Nur Amyliana

29 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Belum pun reda demam PRU13, hari ini negara dikejutkan dengan penemuan mayat adik Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 11, yang menjadi mangsa bunuh dan rogol.

Melihat kejadian yang menyayat hati ini, Dewan Muslimat PAS Pusat mendesak kerajaan khususnya pihak berkuasa agar memperketatkan operasi keselamatan terutamannya melibatkan kanak-kanak.

Ketuanya Siti Zailah Mohd Yusof berkata, peristiwa ngeri seperti yang terjadi kepada adik Nur Amyliana ini bukanlah kali pertama, kerana sebelum ini sudah beratus-ratus kejadian yang sama berlaku.

Tegasnya, kejadian bunuh dan rogol sering kedengaran dan ini memberi gambaran masyarakat negara ini ternyata berada di dalam persekitaran yang belum selamat.

"Budaya menzalimi, menganiaya kanak-kanak semakin berleluasa pada hari ini. Kejadian ini melibatkan nyawa dan maruah. 

"Sudah tiba masanya kerajaan perlu merangka sesuatu tindakan yang boleh membanteras budaya menzalimi kanak-kanak ini," katanya kepada Harakahdaily.

Malah, Zailah turut menasihatkan para ibu bapa agar peka dan mengawasi pergerakan anak-anak kerana suasana hari ini tidak boleh dijangka dan macam-macam boleh berlaku. 

"Sebab itulah polis harus mengambil isu keselamatan awam ini satu isu besar. Selasai PRU jangan duduk jaga orang politik tetapi keselamnatan rakyat perlu dijaga. Apa erti negara maju rakyat tidak selamat,"katanya.

Nur Amyliana atau nama manjanya Cinang ditemui mati dipercayai dirogol sebelum dibunuh di sebuah padang di Jalan Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi, kelmarin.

Mayat kanak-kanak itu ditemui seorang wanita yang melalui kawasan padang berkenaan, kira-kira jam 10.30 malam. Mangsa ditemui terbaring berhampiran tempat parkir bas kilang di sini.

Sebelum itu, mangsa keluar rumahnya di Lorong Batu Nilam 1E, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: