10 Mei 2013

Perkhidmatan internet Syria pulih selepas dua hari tergendala

Perkhidmatan internet Syria pulih selepas dua hari tergendala29 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Sebahagian besar bandar sekitar Damsyik musnah teruk dalam beberapa bedilan hingga menyebabkan kabel optik terganggu.
DAMSYIK - Perkhidmatan internet di Syria kembali pulih selepas seluruh negara ‘bergelap’ selama dua hari akibat terputus bekalan elektrik.

Agensi media Sana melaporkan, aktivis dan kumpulan pemantau mendakwa, gangguan bekalan elektrik seluruh negara itu sengaja dilakukan rejim Presiden Syria, Bashar Al Assad bagi melancarkan operasi ketenteraan.

Stesen televisyen tempatan pula melaporkan, sistem komunikasi dan internet kembali pulih namun perkhidmatan telefon antara wilayah di Syria masih terjejas sejak Selasa, lalu.

Ketua Pengarah Penubuhan Besar Komunikasi, Bakr Bakr berkata, gangguan perkhidmatan internet dan komunikasi di antara wilayah berlaku disebabkan kerosakan teruk pada beberapa kabel optik utama.

“Kami masih mencari punca kerosakan ini. Namun tidak menolak kemungkinan kabel itu terkena bedilan udara dalam serangan, minggu lalu,” katanya.

Sementara itu, sebuah firma Amerika Syarikat yang menjejaki trafik web global, Akamai Technologies and Renesys melaporkan, rangkaian trafik di Syria mula aktif sejak semalam selepas terhenti dua hari lalu.

Ketua pegawainya, Jim Cowie berkata, talian internet kembali berfungsi tetapi masih terdapat gangguan kecil terhadap beberapa jaringan hub, laporan dipetik daripada AFP.

Tiada ulasan: