KUALA LUMPUR: Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Selasa mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bagi penggal kedua.
Upacara angkat sumpah dilakukan di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Doris Sophia Brodi di bangunan Parlimen.
Abu Zahar, 69, bekas presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) dilantik semula sebagai anggota Dewan Negara berkuat kuasa 26 April lepas setelah tempoh penggal pertamanya berakhir sehari sebelum itu.
Abu Zahar pada 26 April 2010 dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-16 menggantikan Datuk Wong Foon Meng yang tamat perkhidmatan pada 12 April 2010.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Abu Zahar melahirkan rasa bersyukur atas pelantikan itu dan berazam melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang bakal dipikul dengan penuh dedikasi.
"Saya akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin demi bangsa, agama dan negara, tanpa ada prasangka, prejudis dan sebagainya, insya-Allah," katanya.
Beliau memulakan kariernya pada 1964 sebagai inspektor Polis DiRaja Malaysia dengan jawatan terakhir sebagai timbalan penguasa polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1979.
Pada 1980 hingga Jun 1986, Abu Zahar meneruskan profesion guaman di ibu negara sebelum dipilih sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pilah dan dilantik anggota exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan.
Pada 1991, beliau mempertahan kerusi DUN berkenaan sebelum dipilih sebagai anggota Parlimen Kuala Pilah selama satu penggal bermula 1995 hingga 1999. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan