11 Rejab 1434 H. [MOD] -
IPOH: Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, di sini yang dinaiktaraf bagi memenuhi keperluan keselamatan operasi pesawat dan keselesaan pengguna.
Majlis perasmian itu diadakan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ke-85.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi.
Projek menaiktaraf lapangan terbang dengan kos RM42 juta yang bermula 13 April 2011 sudah siap dan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 November tahun lalu.
Kerja menaiktaraf lapangan terbang itu membabitkan pelebaran ruang Balai Pelepasan dan Balai Ketibaan, penyediaan tempat duduk baru di Balai Pelepasan, Balai Ketibaan dan ruang daftar masuk serta pemasangan sistem pendingin hawa di Balai Pelepasan, Balai Ketibaan dan balai perhimpunan awam.
Ia juga meliputi pemanjangan landasan dari 1,798 meter kepada 2,000 meter dan pelebaran kawasan meletak kenderaan komersil.
Zambry dalam ucapannya berkata, memandangkan lapangan terbang itu sudah dinaik taraf, kerajaan negeri memohon Kementerian Pengangkutan untuk menambah penerbangan di lapangan terbang itu.
Katanya, kerajaan negeri juga merancang untuk menjadikan lapangan terbang itu sebagai pusat perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan dan baik pulih (MRO).
"Kita mahu menjadikan lapangan terbang ini benar-benar bermanfaat," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan