SYDNEY - Australia mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil apabila jaringan Josh Kennedy pada babak akhir perlawanan memberikan mereka kemenangan 1-0 ke atas Iraq di sini, semalam.
Ia bukanlah kemenangan yang menyakinkan di hadapan 80,000 penyokong mereka, namun ia sudah memadai buat skuad Socceroos layak buat kali ketiga ke Piala Dunia.
Australia menyertai Jepun yang telah mengesahkan kelayakan ke Brazil dari Kumpulan B zon Asia.
Kemenangan semalam meletakan Australia dengan 13 mata, tidak lagi dapat dipintas oleh Oman dan Jordan.
Australia mempersia-siakan peluang gol yang tidak terkira dalam perlawanan di padang yang basah sebelum jurulatih Holger Osieck menggantikan Tim Cahill dengan Kennedy pada minit ke-77.
Kennedy, yang beraksi dengan kelab Nagoya Grampus tidak mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan jurulatih apabila melakukan tandukan untuk memberikan gol kemenangan buat Australia pada minit ke-83.
"Saya bangga dengan aksi pemain. Kempen kelayakan ini amat sukar namun kami membuktikan kekuatan mental.
"Saya minta maaf kerana ia bukan keputusan yang menyakinkan namun kami mengalahkan Iraq.
"Kami melihat secara positif keputusan ini, kami akan ke Brazil," kata ketua pasukan, Lucas Neill.
Osieck yakin terhadap pasukannya selepas membenam Jordan 4-0 dalam aksi kelayakan di Melbourne minggu lalu dan pemain membalas kepercayaan tersebut walaupun ia bukanlah prestasi membanggakan seperti mana yang dijangkakan.
"Ia kempen kelayakan yang sukar namun kami mula menjadikan ia sebagai harapan dalam tiga perlawanan terakhir.
"Saya amat gembira terhadap pemain dan penyokong. Ia perlawanan yang sukar, pasukan memberikan saingan," kata Osieck. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan