KUALA LUMPUR: Tiga kawasan di Johor -- Pasir Gudang, Larkin dan Kota Tinggi -- serta Kemaman di Terengganu mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini.
Bacaan IPU yang direkod di Pasir Gudang sehingga 11 pagi ialah 153, Larkin (125), Kota Tinggi (118) dan Kemaman (103).
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan hari ini melaporkan 16 stesen lain mencatatkan bacaan IPU pada tahap baik dan 32 stesen pada tahap sederhana.
IPU yang bermula daripada (0-50) adalah baik, (51-100) sederhana, (101-200) tidak sihat, (201-300) sangat tidak sihat dan (301) berbahaya.
JAS melaporkan kebanyakan kawasan titik panas tertumpu di Sumatera Tengah, Indonesia.
"Ekoran cuaca panas dan kering, JAS menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka," kata JAS.
Jika sabit kesalahan melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali serta kompaun maksimun sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan, katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, negara kini mengalami musim monsun barat daya bermula bulan ini dan dijangka berterusan sehingga September.
JAS akan terus mengawasi dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara mengikut tindakan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri.
JAS juga mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap daripada kenderaan bermotor dan industri
Sementara itu, orang ramai diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan