10 Syaaban 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasarkan pembukaan klia2 untuk beroperasi pada 2 Mei tahun depan berikutan tarikh siap yang dipinda kepada 30 April oleh kontraktor.
Terminal kos rendah itu sepatutnya dibuka pada 28 Jun tahun ini selepas beberapa penundaan tarikh akhir sebelum ini.
MAHB juga sebelum ini mengumumkan bahawa kontraktor lapangan terbang itu memohon tempoh untuk memberikan tarikh pindaan baharu untuk penyiapannya.
Dalam satu kenyataan, pengendali lapangan terbang itu berkata UEMC-Bina Puri JV, kontraktor bagi bangunan terminal itu, telah hari ini mengesahkan 30 April, 2014 sebagai tarikh baharu penyiapan klia2.
Ini termasuk mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT) menurut obligasi berkontrak.
MAHB berkata ia akan terus memantau kerja yang dijalankan oleh semua kontraktor dan Ganti Rugi Tertentu (LAD) dikenakan menurut obligasi berkontrak masing-masing.
Dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan dan kualiti, kontraktor perlu memastikan penyiapan bangunan terminal klia2 mematuhi semua piawaian keselamatan seperti yang dikehendaki oleh pengawal selia dan MAHB.
MAHB pada Isnin mengumumkan UEMC-Bina Puri JV akan dikenakan LAD harian sebanyak RM199,445.40 sehari, sebagai kontraktor bangunan terminal utama klia2, bermula Ahad.
MAHB juga berkata ia telah mengeluarkan perakuan tidak siap kepada UEMC-Bina Puri JV atas kegagalannya menyiapkan kerja menjelang tarikh akhir kelulusan pada 15 Jun, 2013.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan