17 Syaaban 1434 H. [MOD] -
NARATHIWAT 25 Jun - Selatan Thailand, hari ini menjadi kawasan terbaharu dilanda jerebu akibat kebakaran hutan di Sumatera Indonesia dengan Narathiwat menjadi wilayah paling teruk terjejas.
Timbalan Perdana Menteri, Plodprasop Suraswadi berkata, kerajaan kini memantau keadaan jerebu di negara ini selepas wilayah Narathiwat, Songkhla dan Satun diselubungi jerebu.
Namun beliau berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di wilayah terjejas masih di tahap sederhana dan boleh mendatangkan keburukan kepada kesihatan awam.
Agensi Berita Thai (TNA) melaporkan, 13 daerah di wilayah Narathiwat mengalami pengurangan jarak penglihatan sekali ganda antara 300 meter dan 400 meter akibat jerebu.
Sementara itu, kerajaan Singapura menggesa Indonesia mengemukakan bukti tentang penglibatan syarikat dari republik itu dalam pembakaran hutan di Riau sehingga menyebabkan masalah jerebu di rantau ini.
Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong ketika mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Indonesia ke Singapura, Andri Hadi, semalam.
Wee Kiong berkata, beberapa menteri dan pihak berkaitan di Indonesia mengeluarkan kenyataan berbeza menyebabkan berlakunya kekeliruan maklumat.
Katanya, kerajaan Singapura tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat dari negara ini jika mereka terlibat dalam pembakaran di Riau.
''Terserah kepada Indonesia mengambil tindakan kerana pembakaran itu berlaku di negara itu.
"Namun, kami juga kecewa dengan kenyataan Menteri Sumber Asli dan Asli, Jero Wacik yang menuduh Singapura sebagai 'jiran yang tidak baik' kerana dalam situasi sebegini, kenyataan itu tidak membantu menyelesaikan masalah," jelasnya.
Dalam pada itu, Tentera Nasional Indonesia (TNI) menambah anggota kepada 2,000 orang untuk mengatasi masalah jerebu akibat pembakaran tanah gambut di Riau.
Menurut kenyataan TNI, sebelum ini, seramai 1,000 anggota tentera telah dikerah untuk menangani isu kebakaran hutan tersebut.
Jelas kenyataan itu, usaha memadamkan kebakaran di lokasi titik panas telah berjalan dengan baik dengan beberapa kebakaran telah dapat dipadamkan. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan