26 Jun 2013

Parlimen Ke-13: Pandikar Amin umum Anwar sebagai Ketua Pembangkang

17 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai Ketua Pembangkang bagi Penggal Pertama Parlimen Ke-13. 

 Dewan Rakyat pada Rabu melantik semula Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen bagi penggal ke-13.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata pelantikan Anwar dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 4A(3).
"Mengikut maklum balas yang saya terima, saya berpuas hati bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebulat suara mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang di Parlimen untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Anwar pertama kali dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada penggal Parlimen ke-12 selepas menang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada 2008.
Sebelum ini Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) menyatakan bahawa pembangkang bersetuju mengekalkan Anwar mengetuai pakatan pembangkang di Parlimen.
Komposisi kerusi yang dimenangi pembangkang ialah DAP 38 kerusi, PKR (30) dan Pas (21) kerusi.

Tiada ulasan: