12 Jun 2013

Apakah benar pegawai SPRM kes Beng Hock kini di EAIC?

3 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Apakah benar satu-satu pegawai penyiasat yang dimiliki oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) adalah Mohd Nadzri Ibrahim, pegawai SPRM yang menebual Teoh Beng Hock sebelum kematiannya?


(Apakah benar satu-satunya pegawai penyiasat EAIC adalah pegawai SPRM yang menyiasat Beng Hock sebelum dia mati kini menjadi tandatanya)

Inilah isu yang sangat panas sekarang perhatian ditumpukan kepada EAIC yang telah menubuhkan pasukan petugas (task force) untuk menjalankan kajian semula mengenai Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) agensi-agensi penguatkuasaan yang telah mengakibatkan kadar kematian dalam tahanan yang semakin meningkat.

Pada masa yang sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bahawa EAIC akan membuka siasatan ke atas kes N Dharmendran yang, mengikut laporan post-mortem, telah dipukul sehingga mati semasa dalam tahanan polis.

Sehingga kini, sudah berlaku sembilan kes kematian dalam tahanan pada tahun ini, dengan empat kes dalam tempoh dua minggu yang lepas termasuk kematian N Dharmendran.

Pasukan petugas EAIC yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian-kematian dalam tahanan, merangkumi enam orang pegawai EAIC, iaitu pengerusi Datuk Heliliah Mohd Yusof, pesuruhjaya Datuk Seri Robert Jacob Ridu, setiausaha Ahmad Razif Mohd Sidek, pengarah Foo Hui Yi, penasihat undang-undang Eda Mazuin Abdul Rahman dan pegawai penyiasat tunggal EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim.

"Kami mempunyai sebab untuk percaya bahawa pegawai penyiasat tersebut, Mohd Nadzri Ibrahim, merupakan bekas pegawai Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terlibat dalam kes mendiang Teoh Beng Hock," tulis Steven Sim Chee Keong, ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera dalam kenyataannya.

Mengikut laporan-laporan berita, Mohd Nadzri adalah pegawai yang telah merakamkan keterangan Teoh pada malam kematiannya. Malah, Majlis Peguam juga pernah menyarankan tindakan siasatan lanjutan diambil terhadap beberapa pegawai SPRM yang terlibat, termasuk Mohd Nadzri, atas tuduhan konspirasi jenayah, persubahatan serta mengusik bukti (tampering with evidence) dalam kes tersebut.

Mengikut laman web EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim tersenarai sebagai satu-satunya pegawai penyiasat dalam direktori EAIC ( http://www.eaic.gov.my/index.php/tutorials-mainmenu-48/bs ). 

Malah menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif EAIC Nor Afizah Hanum Mokhtar, pegawai penyiasat EAIC telah diwarisi daripada SPRM. 

Pada masa yang sama, pencarian dalam direktori SPRM menunjukkan bahawa Mohd Nadzri Ibrahim sudah tidak lagi tersenarai, kata kenyataan mereka berdua. 

Maka, kemungkinan besar pegawai penyiasat tunggal EAIC Mohd Nadzri Ibrahim merupakan pegawai SPRM sama yang telah menyoal siasat Teoh Beng Hock sebelum kematiannya.

"Jika ini adalah benar, ini bermaksud bahawa seorang pegawai yang pernah terlibat dalam kes kematian dalam tahanan kini ditugaskan untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan yang lain. Oleh itu, integriti EAIC sekali lagi menjadi persoalan besar.

"Memandangkan EAIC berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri, kami menggesa Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak segera mengesahkan dan menjelaskan sama ada Mohd Nadzri Ibrahim daripada EAIC ini merupakan pegawai sama yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan Teoh Beng Hock dahulu. 

"Dan jika ya, Mohd Nadzri Ibrahim harus dilucutkan serta merta daripada pasukan petugas EAIC serta daripada semua siasatan kes-kes kematian dalam tahanan," kata mereka.


harakahdaily/-

Tiada ulasan: