KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusuf memang wajar berasa kecewa kerana dakwat kekal yang satu-satunya peraturan pilihan raya paling mudah untuk dilaksanakan malangnya tidak dapat dilaksanakan dengan cemerlang, demikian tegas Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli.
Katanya, Abdul Aziz tidak boleh hanya melahirkan kekecewaan begitu sahaja sebaliknya beliau harus ada rasa tanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku.
"Dia patut bertanggungjawab, disebabkan dakwat tidak kekal isu pengundian berganda timbul semula. Tidak cukup lahirkan rasa kecewa, kena ambil tindakan sepatutnya," kata beliau kepada Harakahdaily.
Hatta tidak menafikan untuk menyingkir pimpinan SPR kerana dakwat kekal ini tidak semudah itu, dan mereka harus mengambil tangungjawab sendiri dia atas kegagalannya dengan mengundur diri.
"Kekecewaan perlu dimanifestasikan dengan bentuk tindakan, bukan hanya pandai cakap kecewa sahaja. Paling bermoral adalah undur diri," katanya.
Menurut Hatta beliau dan beberapa pimpinan PAS pernah dijemput SPR untuk menguji ketahanan dakwat kekal yang kononya akan dilaksanakan dalam PRU 2008 yang lalu.
"Waktu itu saya akui dakwat memang kekal, mengambil masa hampir seminggu untuk luntur. Saya ingat kualiti dakwat yang samalah akan digunakan pada PRU13 lepas. Waktu itu kita hampir percaya ketelusan SPR dalam melaksanakan penggunaan dakwat kekal, malangnya ia tidak berlaku.
"Saya dimaklumkan ada tiga orang yang tahu berkenaan pembelian dakwat kekal, saya minta mereka mengaku dan ambil tindakan sepatutnya, " kata beliau.
Terkini, setelah dikecam hebat oleh sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan penggunaan dakwat kekal, akhirnya Abdul Aziz tampil menyatakan kekecewaannya terhadap kegagalan pelaksanaan peraturan itu.
Harakahdaily/-
.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan