8 Syaaban 1434 H. [MOD] -SHAH ALAM - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Selangor menyeru golongan bapa membawa bersama ahli keluarga menjalani pemeriksaan kesihatan percuma di enam Klinik Nur Sejahtera di negeri ini bermula hari ini hingga Rabu.
Pengarahnya, Adzhar Ismail berkata, enam klinik tersebut adalah di Selayang, Shah Alam, Kajang, Pelabuhan Klang, Klang dan Ampang.
Adzhar berkata, beliau menyeru golongan bapa menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengenal pasti tahap kesihatan diri.
Menurutnya, tindakan itu perlu dilakukan oleh bapa yang merupakan ketua keluarga.
“Saya menyeru para bapa dapat bawa keluarga untuk jalani pemeriksaan kesihatan percuma selama tiga hari ini kerana mereka adalah ketua keluarga dan sangat penting menjadi contoh kepada yang lain.
“Mereka perlu menggalakkan ahli keluarga lain untuk buat pemeriksaan kesihatan supaya kita dapat kenal pasti penyakit yang ada,” katanya selepas Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri di Tasik Shah Alam di sini semalam.
Majlis bertemakan ‘Terima Kasih Ayahku’ itu bermula kira-kira 7.30 pagi hingga 10 pagi dengan acara senamrobik dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Malah sebanyak 300 cenderamata turut diedarkan kepada golongan bapa yang bersenam di tasik itu.
Adzhar berkata, golongan bapa merupakan ikon kepada ahli keluarga.
Menurutnya, bapa perlu memainkan peranan penting dalam institusi kekeluargaan supaya dapat dijadikan panduan oleh anak-anak.
“Semua bermula daripada rumah sebelum komuniti dan seterusnya negara.
“Jadilah bapa yang terbaik untuk keluarga,” katanya.
Adzhar berkata, sambutan majlis itu juga mengejutkan golongan bapa yang berjoging di tasik itu malah mereka rasa dihargai.
sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan