19 July 2013

500 naskhah Harakah dirampas di Temerloh

10 Ramadhan 1434 H. [MOD] - 


Kakitangan KDN sedang mengambil akhbar Harakah dan memasukkan ke dalam kotak.

TEMERLOH: Dianggarkan 500 naskhah akhbar Harakah keluaran terbaru dirampas daripada kedai-kedai sekitar bandar ini dalam operasi bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.


Pengedar Harakah Kawasan Temerloh, Arizaliza Othman berkata, akhbar tersebut baru sahaja dihantarnya ke kedai-kedai terlibat awal pagi semalam.

Beliau yang juga pengedar akhbar Suara Keadilan, berkata akhbar milik PKR itu juga turut dirampas.

“Pada sebelah pagi tadi (semalam) seperti biasa saya mengagihkan Harakah ke kedai-kedai yang menjual akhbar dan majalah, sehinggalah kira-kira pukul 11 pagi saya dihubungi pekedai mengatakan KDN dan polis datang merampas.

“Sudah pasti saya begitu terkejut kerana ini pertama kali berlaku sejak menjadi pengedar kawasan apa lagi selepas pilihan raya umum ini dan bertukar menteri,” katanya.

Beliau turut terkilan dengan tindakan tersebut kerana dalam bulan Ramadhan ini majalah-majalah lucah dan tahyul dibenarkan tetapi akhbar milik parti yang sah dirampas.

Sementara itu seorang pemilik kedai yang menjadi mangsa rampasan di Taman Temerloh Jaya dekat sini, William Ho terkejut kerana tindakan kakitangan KDN yang datang dengan dua buah kereta dan sebuah kereta polis.

“Mereka berhenti di hadapan kedai saya lalu menerpa dan merampas kira-kira 50 Harakah dan 30 Suara Keadilan yang terpamer bersama akhbar lain tanpa bertanya sesuatu.

“Ketika itu hanya ada seorang pekerja saya sementara saya berada di luar dan hanya kembali 10 minit kemudian setelah dihubungi pekerja, tetapi akhbar-akhbar itu sudahpun dirampas dan disimpan dalam kotaknya.

“Mereka paksa saya tandatangan sekeping borang dan berkata saya tidak termasuk dalam senarai nama pengedar-pengedar Harakah dan Suara Keadilan pula langsung tidak ada permit dan sebab itulah mereka rampas,” ujarnya.

William berkata, beliau memberitahu pegawai berkenaan bahawa beliau telah 8 tahun menjual Harakah, justeru kenapa sekarang baru mahu mempersoalkannya status pengedar.

Katanya, malangnya rayuan itu tidak dipedulikan.

Minggu lalu, KDN dalam operasinya telah merampas Harakah dan Suara Keadilan di sekitar bandar Kuantan.

Harakahdaily/-

No comments: