harakahdaily.net
Ketika masyarakat terus mendepani isu-isu semasa yang pelbagai seperti kematian dalam tahanan, peningkatan kadar jenayah, kenaikan harga dan terputus bekalan diesel, pencabulan demokrasi yang berterusan di Mesir dengan sokongan terbuka barat, dan bermacam kisah keperitan rakyat bawahan, saya memilih untuk terus bersuara bagi golongan dhaif yang kini disebut Orang Kurang Upaya - OKU.
Apatah lagi seminggu mutakhir ini saya terlibat langsung dengan dua acara yang membabitkan OKU yang saya fikir perlu diketahui umum khususnya OKU dan ahli keluarga. Bermula dengan majlis berbuka puasa OKU bersama kerajaan negeri Kelantan dan jerayawara (road show) Majlis Kebangsaan OKU di seluruh Negara, dengan coretan ini, saya mengharapkan doa sekalian muslimin moga kejayaan mengiringi setiap usaha membangunkan 4.2 juta OKU yang dianggarkan di Malaysia.
Jika Ramadhan 1433 lalu telah menyaksikan Sekretariat Prihatin OKU di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Parti Islam Semalaysia dizahirkan, dengan izin Allah, Ramadhan 1434 terus mencorakkan warna-warni tersendiri dalam usaha-usaha membawa perubahan kepada pembangunan OKU di Malaysia.
Pada 25 Julai bersamaan 16 Ramadhan lalu, suatu majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada 500 OKU Berjaya dilangsungkan di Kota Baru. Program yang bermula dengan solat asar berjemaah telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Kelantan, Yang Amat Berhormat Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob.
Meskipun program anjuran Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat dengan kerjasama JKM dan Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan tersebut adalah program tahunan sejak beberapa tahun terdahulu, komitmen yang ditunjukkan oleh pimpinan negeri yang hadir dan berusaha memahami keperluan semasa OKU suatu langkah berterusan yang cukup baik. Bagi warga OKU, ia tambah bermakna bilamana program tersebut yang sejak awalnya turut dihadiri oleh Mantan Menteri Besar Negeri Kelantan, Yang Berhormat Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz B. Hj Nik Mat. (Gambar)
Dua langkah terkini yang diambil kerajaan dalam membangunkan OKU di Kelantan telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, YB Hajah Mumtaz Md Nawi. Selain mengadakan skim takaful khusus kepada OKU terlantar, penubuhan unit penyelaras pembangunan OKU negeri telah dimulakan dengan seorang pegawai sambilan dilantik bagi menyelaras perancangan dan perlaksanaan program pembangunan OKU di Kelantan. Selanjutnya dalam ucapan perasmian, YAB Menteri Besar menegaskan kerajaan negeri akan sedaya mampu memantau keperluan semasa bagi membangunkan OKU sesuai dengan kehendak Islam.
Perlu disedari, jika dulu kita membicarakan apakah lagi bentuk bantuan yang perlu diberikan, pembicaraan kini turut tertumpu kepada usaha-usaha yang perlu bagi membina potensi insaniah yang ada pada setiap individu OKU yang pelbagai katagori. Tentunya ia suatu yang bukan mudah bagi kerajaan yang diterajui pembangkang seperti Kelantan.
Di sinilah betapa perlunya setiap hak kerajaan Kelantan yang ditetapkan oleh perundangan dan moral mesti dihormati oleh kerajaan persekutuan bagi memastikan keupayaan Kelantan berada pada tahap yang optimum. Peruntukan-peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pembayaran royalti petroleum terus kepada kerajaan Kelantan misalnya mesti dipenuhi tanpa dibayangi sikap diskriminasi kerana perbezaan politik.
Sebagaimana diluahkan oleh kebanyakan OKU dalam program jerayawara Majlis Kebangsaan OKU yang berlangsung di seluruh Negara mulai 29-30 Julai, isu dan permasalahan yang dihadapi oleh OKU masih berlegar kepada perkara-perkara asas. Dalam suasana Negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 56 Ogos akan datang, warga OKU benar-benar mengharapkan suatu yang lebih baik apatah lagi selepas pewartaan Akta OKU 2008 pada Julai 2008 lalu.
Pada masa kini, biarpun banyak usaha dilakukan, didapati ia tidak banyak membantu meningkatkan potensi OKU disebabkan lompong-lompong di sana sini bila ia berada pada tahap perlaksanaan.
Justeru, langkah permulaan kerajaan Kelantan melibatkan OKU dalam merencana dan melaksanakan program pembangunan OKU wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain. Tanpa pembabitan sendiri OKU dalam pembuatan dasar-dasar utama, ia hanya akan mengulangi kesilapan sebagaimana pepatah menyebut “rumah siap, pahat masih berbunyi”. - 21 Ramadhan 1434H.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan