30 July 2013

Pergolakan politik Tunisia masuki fasa baru

21 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

TUNIS 30 Julai - Tentera Tunisia menutup dataran utama yang digunakan oleh penunjuk perasaan pro dan antikerajaan di sini semalam, ketika parti komponen kerajaan menggesa pembentukan kerajaan perpaduan yang baharu.

Pihak tentera menggunakan kawat dawai untuk menutup dataran terbabit sekali gus mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai ‘zon tertutup tentera’.

Penunjuk perasaan kedua-dua pihak sebelum ini berikrar untuk mengadakan bantahan, dan kumpulan antikerajaan dilapor telah berkumpul berdekatan dataran berkenaan.

Ketegangan politik di Tunisia kembali tinggi apabila berlaku keganasan membabitkan pertempuran kedua-dua pihak ketika parti pembangkang negara ini mendesak agar kerajaan pimpinan parti Islam dibubarkan.

Sementara itu, Parti Ettakatol yang merupakan parti gabungan dengan Parti Ennahda yang memerintah kerajaan, menggesa agar kerajaan dibubarkan bagi meredakan krisis politik negara ini.

Pemimpin Parti Ettakatol, Lobni Jibril berkata, kerajaan perpaduan yang baharu juga perlu dibentuk bagi mewakili semua pihak.

"Jika Parti Ennahda enggan menerima cadangan ini, kami akan keluar daripada kerajaan," katanya. - REUTERS

No comments: