- Antara peserta seminar yang hadir.
BACHOK – Akhir - akhir ini isu Syiah hangat diperkatakan di seluruh negara sehingga ada negeri yang mengeluarkan fatwa mengharamkan penyebaran ajaran Syiah ini dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Di akhbar baru-baru ini menyatakan keahlian Syiah di negara ini mencecah sejuta orang. Namun mungkin ramai yang kabur mengenai penyebaran Syiah ini terutamanya bagi penduduk luar bandar sedang ia suatu fenomena bagi segelintir penuntut luar negara.Syiah dianuti berleluasa di Iraq, Iran, Lubnan, Yaman, Bahrain, Kuwait termasuk di negara asia. Kumpulan Syiah ini dipercayai mula bertapak di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada 1979.
Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran.
Gerakan berlaku di IPT
Pegawai Agama Jajahan Bachok, Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacob berkata, Syiah ini bertambah meruncing apabila gerakan ini turut berlaku di universiti tempatan yang menyebarkan Syiah Jaafariyah secara serius kepada penuntut di institut pengajian tinggi (IPT).
Berikutan pengaruh Syiah yang semakin merebak, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) menganjurkan seminar Bahaya Pengaruh Syiah dan Ajaran Sesat di Dataran Perahu, Pantai Irama buat julung kalinya baru-baru ini.
Nik Ahmad Zuhdi berkata, seminar itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Agama Jajahan dan Masjid Mahmudi Bachok dan melibatkan 400 peserta.
“Kami menjunjung kasih kepada Tengku Mahkota Kelantan sebagai Yang Di pertua Maik di atas penganjuran seminar ini.
“Masih ramai dalam masyarakat kita yang tak tahu tentang bahaya Syiah ini sebab itu seminar ini diadakan berikutan ia semakin merebak di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Syiah adalah menyesatkan akidah umat Islam apabila ia menyanjung Saidina Ali lebih daripada Rasulullah SAW dan mengkafirkan tiga sahabat yang lain.
Gerakan ini terbukti wujud di Kelantan apabila dalam ekspo tahun lalu terdapat banyak sumber buku dan rujukan Syiah dijual secara berleluasa di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
Penyelewengan akidah Syiah
Bagi Mohd Zawawi Yusof dari Maahad Darul Kautsar, Kuchelong, Bachok, perkara yang amat disukai anak muda di negara ini apabila mengenal Syiah ialah nikah mut’ah.
“Nikah mut’ah ini digemari mereka yang melanjutkan pelajaran di luar negara sebab bila berkahwin dengan orang sana mereka tak perlu menyewa dan dapat tempat tinggal percuma selain nafkah batin.
“Sedangkan perkara itu adalah zina kerana ia dilakukan tanpa wali dan saksi untuk tempoh masa tertentu dan tidak terikat dengan tanggungjawab seperti pernikahan biasa,” katanya.
Pernikahan ini juga membolehkan dinikahi hingga 1,000 wanita dan tidak perlu ditanya status isteri orang atau tidak.
Selain itu katanya, mereka percaya ilmu ALLAH berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia (Al- Bada’); kemunculan Imam Mahdi; taqiyyah (berpura- pura menipu kerana suatu kepentingan); menambah nama Saidina Ali dalam syahadah; imam 12 adalah maksum; dan menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahlu Sunnah Wal Jamaah termasuk hadis Mutawatir.
Awasi anak-anak yang belajar di luar
Bagi seorang lagi pengajar Maahad Darul Kautsar, Shamsudin Abdul Rahman, perkara ini perlu dititik berat oleh ibu bapa apabila menghantar anak mereka di IPT atau luar negara.
“Jangan biarkan anak-anak terikut dengan gejala ini, kita perlu pantau sebab ramai ibu bapa tak tahu tapi ia sudah merebak dalam kalangan anak muda.
“Jika hal ini berlaku ia boleh merosakkan agama Islam sendiri, keruntuhan keluarga, boleh menjatuhkan kerajaan dan perpecahan serta pembunuhan seperti yang berlaku di luar negara. Jadi saya amat sokong bila penerangan Syiah seperti ini diluaskan di peringkat akar umbi agar penduduk kampung tahu apa Syiah sebenarnya,” katanya.
Haramkan Syiah
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan haram, berkuat kuasa 24 Julai 2013. Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, ia diputuskan oleh Menteri Dalam Negeri berpandukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.
Abdul Rahim berkata, pengikut Syiah pernah memohon mendaftarkan pertubuhan itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan di Melaka pada 18 Jun 2011, namun ditolak pada 4 Ogos tahun sama.
Manakala, Jawatankuasa fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dalam keputusannya yang bertarikh 5 Mei 1996 mewartakan kesesatan Syiah dan mengharamkannya di Malaysia.
Antara negeri lain yang memfatwakannya haram ialah Selangor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan terbaru Kedah juga dikatakan bakal mengeluarkan fatwa yang sama.
Pusat ajaran dikatakan mereka beroperasi sebagai ‘hauzah’ di Gombak, Selangor, Kedah, Perak dan Johor. SH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan