Harakahdaily, | 30 Jul 2013 |
MESIR: Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyeru negara-negara Umat Islam bertindak memberi tekanan kepada kerajaan kudeta Mesir yang dipimpin tentera agar menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat mereka sendiri.
Bercakap di stesen Al-Jazeera yang turut disiar secara langsung kelmarin, Qaradhawi berkata negara umat Islam termasuk Malaysia dan Indonesia mempunyai kewajipan membantu rakyat Mesir yang sedang dizalimi.
"Umat Islam di seluruh dunia, di Indonesia, Malaysia (beliau menyebut beberapa lagi negara...) mempunyai tanggungjawab untuk menolong saudaranya di Mesir, agar menghentikan pertumpahan darah ini," katanya.
Kenyataan Qardhawi dibuat dalam keadaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Razak dilihat masih lagi berdiam diri, tanpa sebarang pendirian konkrit berhubung kudeta dan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera pimpinan Abdul Fatah Al-Sisi.
Dalam tragedi terbaru menjelang Subuh Sabtu lalu, sekurang-kurangnya 120 penyokong Morsi dilaporkan terbunuh di Raba'ah manakala lebih 4000 cedera apabila dibedil dengan peluru hidup oleh pasukan polis Mesir dan samseng upahan mereka.
Berikut antara mesej yang disampaikan Qaradhawi: [LIHAT VIDEO]
1) Kepada Menteri Pertahanan, Abdul Fatah As-Sisi yang telah mengkhianat janji sewaktu mengangkat sumpah dilantik ke jawatan itu di hadapan Mursi. Sisi beranggapan dia telah diberikan "kuasa" melalui himpunan menyokongnya Jumaat lepas manakala selain mereka itu bukan rakyat Mesir bahkan bukan manusia. Lalu dia menggunakan "kuasa" itu melakukan apa yang disukainya.
2) Menyifatkan Adli Mansour, Presiden sementara sebagai "boneka"dan kerajaan kudeta pimpinan Perdana Menteri Hazim Beblawi sebagai "kerajaan zalim".
3) Sisi sebelum menyingkir Mursi telah memansuhkan perlembagaan 2012 yang telah diperakui dengan sokongan 64 peratus pengundi. Lalu Sisi membentuk jawatankuasa penggubal yang terdiri hanya 10 orang dalam tempoh hanya sebulan bagi mengadakan pindaan perlembagaan. Sedangkan pada zaman Mursi tahun lalu, perlembagaan dibincang oleh 100 orang panel yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat dalam tempoh 6 bulan sebelum diadakan pungutan suara pada Disember 2012.
4) Syeikh Qaradhawi turut menyalahkan Sisi terlibat dengan pembunuhan terbesar yang membunuh lebih 140 orang dan mencederakan 4,500 yang lain.
5) Beliau berkata, korban syuhada itu bukan hanya dari kelompok Ikhwan, tapi semua elemen rakyat turun jalan menuntut konstitusi dan legitimasi dikembalikan. Apakah kalian tidak rasa bersalah membunuh orang yang sedang Solat?
6) Beliau menyeru, polis dan tentera, agar tidak mentaati pemimpin yang menyuruh maksiat dan zalim."Tidak ada ketaatan terhadap makhluk dalam bermaksiat" (Maksud Hadis).
7) Beliau mempersoalkan pendirian Syeikh Al-Azhar, Dr.Ahmad Toyyib. "Siapa yang kata bunuh manusia merupakan perkara yang lebih ringan dari dua dhoror (kaedah akhaffu dhororoin)? Pernahkah anda meminta pandangan Haiah Kibar Ulamak Al-Azhar? Wajib bagi anda untuk undur kembali dari pendirian ini. Saya menyeru saudara-saudara saya dalam Haiah Kibar Ulamak dan Lembaga Penyelidikan Islam untuk sama-sama mengkaji pendirian Syeikh Al-Azhar."
8) Mengecam media Mesir yang tidak profesional dalam melaporkan kejadian yang berlaku. "Saya menyeru Majlis Keselamatan PBB, mereka yang mulia di seluruh dunia untuk datang sendiri ke Mesir bagi melihat apa yang sebenarnya berlaku."
9) Menyeru kepada rakyat Mesir untuk turun ke Raba'ah dengan damai dan "jangan takut". Turun bersama-sama keluarga dengan penuh berani. "Termasuk warga Kristian juga datang bersama-sama orang Islam lain ke Raba'ah."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan