BENTONG – Seramai 14 penumpang bas berdepan detik cemas apabila bas henti-henti dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah treler membawa muatan kelapa sawit.

Bas dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Temerloh itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 42.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi, dekat sini, kira-kira jam 9.35 pagi semalam.



Akibat kejadian itu, dua penumpang dilaporkan parah dan tiga lagi cedera ringan kini dirawat di Hospital Bentong.



Seorang penumpang dikenali sebagai Muhammadin, 24, berkata, dia bersama rakan, Hendra, 21, menaiki bas itu di Hentian Pekeliling, kira-kira jam 9 pagi untuk ke Temerloh.



Katanya, mereka berdua duduk di tempat duduk bernombor lima dan enam.



“Semasa kejadian, saya tidak tidur dan sempat mendengar jeritan pemandu sebelum bas merempuh belakang lori. “Pemandu bas menjerit kalimah ALLAH beberapa kali dan meminta penumpang terutama di bahagian hadapan menyelamatkan diri,” katanya.



Muhammadin berkata, dia bingkas bangun dan melarikan diri ke bahagian belakang bas. Katanya, keadaan pada masa itu agak kelam-kabut, manakala bahagian hadapan bas rosak teruk.



Tidak sedar apa berlaku



Hendra pula berkata, dia tidak sedar apa yang berlaku semasa kejadian dan hanya sedar apabila Muhammadin bersama penumpang lain membantunya keluar dari bas.



“Kejadian berlaku begitu pantas, saya memang tidak sedar. Tengok-tengok bas sudah remuk di bahagian hadapan.



“Namun saya bersyukur kerana tiada kecederaan serius akibat kejadian tersebut,” katanya.



Siti Salwa Omar, 24, pula berkata, dia yang duduk di belakang pemandu, tidur sepanjang perjalanan kerana kepenatan baru pulang daripada kerja sebagai pembantu di bahagian farmasi.



“Saya terjaga apabila mendengar bunyi bising dan nampak bas merempuh belakang lori. Saya tercampak ke hadapan, namun bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan berat.



"Memang saya kerap menaiki bas sama untuk pulang ke kampung di Lanchang, namun tidak sangka kali ini berdepan kejadian sebegitu," katanya.



Kesesakan 1.3 kilometer



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika kejadian, treler membawa muatan kelapa sawit sedang bergerak perlahan menuruni bukit.



Katanya, berdasarkan siasatan awal, bas dipandu lelaki berusia 58 tahun itu dipercayai cuba memotong treler, bagaimanapun pada masa sama ada sebuah Kancil juga cuba memotong treler tersebut.



“Pemandu bas dipercayai bertindak masuk semula ke laluan perlahan dan kemudian melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler.



“Akibat kemalangan itu, laluan kontra terpaksa dibuka bermula dari Kilometer 42 hingga Kilometer 43 bermula jam 10 pagi bagi kerja-kerja mengalihkan kenderaan,” katanya.



Mohamad Mansor berkata, kesesakan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan berlaku sepanjang 1.3 kilometer. Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sinar/-