7 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyelesaikan masalah hakisan pantai di Pantai Timur dengan menggunakan kaedah yang lebih efektif walaupun kos lebih tinggi.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kaedah penambakan batu di kawasan pantai yang mengalami hakisan iaitu Pantai Tok Jembal dan Pantai Teluk Ketapang di Kuala Terenganu dilihat tidak menyelesaikan masalah walaupun menelan kos RM81 juta.
Beliau juga berkata, kaedah penambakan batu menghilangkan keaslian pantai yang merupakan tumpuan orang rama termasuk pelancong dari luar negara.
Sebaliknya katanya, kaedah penambakan pasir lebih berkesan seperti yang dilakukan di Pantai Miami, Australia.
"Sejauh mana kerajaan serius menangani isu ini kerana ia melibatkan hakisan pantai yang menjadi tumpuan ramai.
"Penggunaan tambak batu sebagai cara menangani hakisan menyebabkan pantai pelancongan tiada nilai, hilang keaslian pantai, contoh pantai yang menggunakan kaedah ini ialah Pantai Teluk Ketapang yang bersebelahan lapangan terbang Kuala Terengganu.
"Ada penyelesaian mudah dan murah seperti yang dilakukan negara besar seperti Pantai Miami di Australia yang menggunakan pasir untuk mengatasi hakisan," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. (Gambar atas)
Katanya lagi, walaupun kos menggunakan pasir lebih tinggi namun ia memberikan penyelesaian jangka panjang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok, Marzuk Shaary berkata, kawalan hakisan di Thailand lebih baik berbanding di Malaysia.
Katanya, hakisan di Sungai Golok Kelantan sangat membimbangkan terutamanya ketika banir besar pada musim tengkujuh.
"Pada musim tengkujuh sangat menggusarkan kerana banjir menyebabkan hakisan melanda Kelantan dan menyebabkan kerosakan awam dan harta benda.
"Nampak kerajaan tak serius menangani hal ini kerana mengikut kajian, tebatan banjir atau struktur kawalan banjir tidak mengambil kira faktor yang merupakan 85 peratus punca hakisan," katanya.
Terdahulu, beliau dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat meminta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian dalam mengatasi kejadian hakisan pantai dan tebing sungai khususnya di negeri Kelantan yang semakin teruk.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan