16 July 2013

PAS yakin dapat MB jika situasi 16:16 di T'ganu

7 Ramadhan 1434 H. [MOD] -





Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub percaya PAS dapat memperoleh kedudukan sebagai menteri besar Terengganu jika Dewan Undangan Negeri (DUN) mencapai anggota 16:16 antara Pakatan Rakyat dan BN.

Katanya, jika itu berlaku, PAS akan dapat menyelesaikan masalah tanah di negeri Pantai Timur itu.



"Jika kita dapat capai 16:16, Insya-Allah jika ia benar-benar berlaku, PAS akan menjadi menteri besar dan menyelesaikan masalah tanah di negeri ini," katanya dalam ceramah di Seberang Barat Luar, Kuala Besut malam tadi.

Menurut bekas anggota Parlimen Kubang Kerian itu, PAS ketika memimpin Terengganu pada 1999 berjaya menyelesaikan 75 peratus masalah itu.

BN sekarang mempunyai penguasaan 17 kerusi DUN di Terengganu manakala Pakatan pula 15 kerusi.

Jika PAS berjaya merampas kerusi itu, jumlah kedua-dua pihak akan sama banyak, yang kemungkinan besar mewujudkan keadaan DUN 'tergantung'.

Pakar undang-undang berpendapat, jika itu berlaku, ia bergantung kepada sultan Terengganu untuk menentukan menteri besar atau membubarkan DUN supaya pilihan raya semula dapat dilangsungkan.

'Bayangkan PAS tak masuk pilihan raya'

Sementara itu, Salahuddin juga menegaskan, parti Islam itu akan terus mengambil bahagian dalam proses pilihan raya walaupun berhadapan situasi padang tidak sama rata.

NONEKatanya, ia "sumbangan besar demi negara" daripada aspek keselamatan negara kerana mereka tidak mahu Malaysia menjadi sebuah lagi negara Amerika Latin yang rakyatnya menggulingkan kerajaan bukan melalui proses pilihan raya.

"Pasukan keselamatan patut berterima kasih kepada PAS...

"Boleh kamu bayangkan, apa yang akan berlaku sekiranya PAS memutuskan tidak mengambil bahagian dalam proses pilihan raya," katanya sambil menambah parti itu mempunyai 1.3 juga anggota di seluruh negara.
Malaysiakini/-

No comments: