13 July 2013

Kereta api tergelincir di Sabah

4 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


KAKITANGAN Jabatan Keretapi Negeri Sabah membuat pemeriksaan terhadap landasan kereta api dekat pekan Kinarut 20 kilometer dari sini apabila sebuah gerabak penumpang kereta api terkeluar dari landasan semasa dalam perjalanan dari Stesen Keretapi Tanjung Aru ke Papar hari ini. - Foto BERNAMA

PAPAR: Kira-kira 80 penumpang sebuah kereta api yang dalam perjalanan dari Tanjung Aru ke Papar terpaksa meneruskan perjalanan mereka dengan bas selepas satu roda kereta api itu terkeluar daripada landasan dalam kejadian hari ini.


Pegawai Operasi Keretapi Sabah, Awang Zainudin Awang Matusin berkata, kejadian jam 8 pagi di kawasan Kampung Kawang di sini itu bagaimanapun, tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penumpang.
"Kejadian itu berlaku akibat masalah pada landasan, bukan kerana tidak diselenggara cuma di bahagian ini memang ada sedikit masalah dan pemandu sentiasa dinasihatkan berhati-hati dan mengurangkan kelajuan ketika melalui kawasan ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, Jabatan Keretapi Sabah sedang berusaha menangani masalah itu.
Sementara itu, pemandu kereta api, Amir Amit berkata, kereta api berkenaan bertolak dari Stesen Tanjung Aru pada 7.45 pagi dan apabila tiba di kawasan tersebut beliau memperlahankan kelajuan.
"Bahagian kanan depan keretapi terasa goyang sedikit, seperti tersasar dari trek landasan. Saya terus berhentikan kereta api dan keluar untuk tengok. Saya nampak satu tayar terkeluar daripada landasan," katanya.
Difahamkan kereta api itu kemudian dialih daripada landasan dan perkhidmatan tren Sabah tidak terjejas.
Kejadian itu adalah yang kedua tahun ini selepas insiden pada 19 Jun lalu yang meragut nyawa seorang pelancong Hong Kong selepas sebuah kereta sewa dirempuh kereta api di Jalan Petagas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - BERNAMA

No comments: