13 July 2013

PRK Kuala Besut penentu hayat BN Terengganu

4 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

BESUT: Sekiranya momentum Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 mampu dikembalikan, tidak mustahil Dun Kuala Besut dikembalikan ke pangkuan PAS.

Namun, PAS dan Pakatan Rakyat perlu bertapak kukuh di peti undi Kampung Baru, Seberang Barat, Kampung Nail dan Tok Saboh. Peti undi terbabit ‘lebih berkiblat’ kepada Umno.


 Usaha bersungguh-sungguh juga perlu dilakukan di peti undi Seberang Barat Luar, bersempadan dengan Semerak di laluan tepi pantai. Pada pilihan raya umum lalu BN menang dengan majoriti 756 undi.

PAS juga perlu memperkemaskan benteng di peti undi Bukit Puteri, Kampung Baru dan Bukit Nangka. Sekiranya momentum itu dapat dipulih, tidak mustahil fenomena 16:16 benar- benar menjadi kenyataan pada 24 Julai ini.

Di Kampung Baru terletak Markas Besar PAS Dun Kuala Besut. PAS pernah menang dengan majoriti besar di peti undi tersebut pada PRU 1999 iaitu sebanyak 232 undi.

Bagaimanapun andaian tersebut cuba dinafikan Ketua Umno Besut, Datuk Seri Idris Jusoh. Beliau dengan megah menggambarkan BN boleh menang dengan majoriti 4,000 undi.

Idris mungkin tersilap kira, kehadiran Ramadan melahirkan suasana berbeza.

“Bulan Ramadhan, segala syaitan yang merosakkan manusia diikat Allah Taala. Jadi orang Islam tidak mudah dipengaruhi dengan umpan kebendaan,” kata seorang pak cik di Kampung Baru.

Namun Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pelbagai bantuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) muncul di Besut menjelang 24 Julai ini.

Katanya, Umno dan BN hanya bergantung harap kepada umpan kebendaan bagi mengekalkan pengaruh mereka di Kuala Besut.

“Oleh itu bagi menghadapi kemungkinan itu, PAS Besut menyediakan pasukan peguam untuk memantau politik wang.

“Pasukan peguam daripada Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS akan datang memantau dan mengambil tindakan lanjut setiap kes ditemui,” katanya di sini.

Selain itu menurutnya, jentera kempen PAS dengan dibantu rakan-rakan Pakatan Rakyat memberi tumpuan khusus kepada peti undi Seberang Darat, Tok Saboh dan Seberang Darat Luar. Ini kerana kawasan itu dimenangi BN dengan majoriti besar pada PRU13.

Biar apa pun strategi, namun ramai melihat potensi calon menjadi senjata akhir. Umpan kebendaan, wang ringgit dan isu tidak akan ke mana sekiranya calon tidak berkenan di hati pengundi.

BN mempertaruhkan nasib bagi mempertahankan kerajaan “majoriti mudah” dengan menampilkan calon muka baru, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
Beliau sebelum ini bertugas sebagai jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya.

Pemilihan Zaihan yang disifatkan orang Idris, sekaligus mengetepikan Pegawai Agama Daerah Dungun, Nik Zuhaiza Ismail dan Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Dungun, Zahanapi Sagaf.

Sebelum ini nama mereka dikatakan berada pada carta teratas sebagai calon BN.
Zaihan memikul tanggung jawab besar bagi mempertahankan kerajaan BN di Wisma Darul Iman. Pengumuman nama calon BN itu dibuat Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Besut, 9 Julai lalu.

Penyelidik Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Muhamad Zainal Abidin Hussin berkata, isu calon seakan-akan memberi kesan kelabu kepada BN.

Biar pun pernah bertugas di Besut, namun namanya dikaitkan dengan Idris dan bukan pilihan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datukí Seri Ahmad Said.

“Sekarang harapan seluruh rakyat Malaysia dipikul pengundi di Besut.
“Undi mereka mampu mengembalikan maruah rakyat Terengganu. Sentimen penolakan BN yang berlaku pada 8 Mei lalu, dan hari ini disambung pengundi di Kuala Besut,” ujarnya.

Apa yang pasti lebih 15,000 pengundi Kuala Besut bakal menentukan masa hadapan kerajaan Terengganu. Fenomena 16:16 tidak mampu dielak.

Harakahdaily/-

No comments: