04 Julai 2013

Mesir: Puluhan penyokong Morsi terbunuh

25 Syaaban 1434 H. [MOD] -

MESIR: Puluhan rakyat Mesir dilaporkan terkorban diserang askar dan polis negara itu dalam himpunan dibeberapa buah bandar bagi mempertahan kepimpinan Presiden Morsi.

Insiden tersebut berlaku hanya beberapa jam selepas tentera Mesir mengumumkan rampasan kuasa sekaligus menggulingkan Morsi.

Web Ikhwanonline melaporkan di bandar Iskandariah, sekurang-kurangnya 10 terkorban manakala 200 orang cedera ketika ribuan penyokong Morsi berhimpun di Dataran Sidi Bisyr.

Di Asyut pula, dilaporkan dua orang penyokong Morsi terbunuh manakala 500 yang lain cedera selepas ditembak pasukan keselamatan di hadapan Masjid Omar Makram.
Sementara di Aswan, angka kematian tidak dapat dipastikan namun lebih 100 orang cedera dalam himpunan berhampiran dengan Masjid An-Nasr.

Di Matruh pula dilaporkan seramai 10 orang terkorban apabila polis melepaskan tembakan kepada peserta himpunan yang dihadiri ratusan ribu penyokong Mursi.

Sementara itu, beberapa web pro Morsi melaporkan ratusan waran tangkap dikeluarkan oleh pihak tentera bagi menangkap pemimpin dan anggota kumpulan gerakan Islam Ikhwan Muslimin.

Antara yang dilaporkan telah ditangkap termasuk Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr.Rasyad Bayumi serta Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) sayap politik Ikhwan Muslimin, Dr.Muhammad Sa'ad Katatni.

Menteri Pertahanan, Jeneral Abdul Fatah al-Sisi dalam kenyataannya awal pagi tadi, Presiden Mesir Dr. Muhammad Morsi telah digulingkan oleh tentera Mesir selepas diberi tempoh selama 48 jam untuk memenuhi tuntutan rakyat.

Mereka telah mengumumkan perlantikan Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly Mansour, sebagai ketua interim negara bagi menjalankan urusan negara bagi tempoh peralihan sehingga pilihan raya presiden yang baru.

Morsi tolak rampasan kuasa

Dalam perkembangan berkaitan, Morsi dalam kenyataannya terbaru sejurus pengumuman rampasan kuasa itu menolak tindakan tentera yang membuat rampasan kuasa.

Morsi berkata, beliau masih Presiden Mesir yang sah mengikut saluran demokrasi.

Beliau turut menyeru pasukan keselamatan dan rakyat agar masih berpegang dengan perlembagaan dan tidak patuh kepada rampasan kuasa oleh tentera.

“Bersabarlah kerana kemenangan itu akan tiba, dan Allah telah berfirman ‘adakah kamu rasa kamu akan masuk syurga selagi Allah tidak mengetahui mereka yang berjihad di kalangan kamu dan mereka yang bersabar.” kenyataan Morsi dipetik web ikhwanonline.com.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: