04 Julai 2013

Pakatan kemuka usul rujuk MP BN ke JK Parlimen

25 Syaaban 1434 H. [MOD] -


Pakatan Rakyat mengemukakan usul untuk merujuk MP Simpang Renggam Liang Teck Meng ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Parlimen atas kenyataan yang mendakwa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar memiliki wang ratusan juta ringgit di akaun bank luar negara.

MP Jelutong Jeff Ooi memfailkan usul tersebut semalam kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada jam 4 petang semalam, mengikut Perkara 80 dan Perkara 80(a) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.


Katanya, tindakan itu diambil selepas beliau membuat semakan dan mendapati dakwaan Liang ke atas Anwar di Dewan tersebut pada hari Selasa lalu dibuat dengan tidak berasas dan dengan merujuk "sumber palsu".

"Sumber-sumber palsu yang digunakan dalam Dewan bertujuan untuk mengelirukan dan menghina Dewan.

"Sehubungan itu adalah didapati hujah-hujah pokok yang digunakan oleh YB Simpang Renggam adalah lebih berdasarkan tulisan-tulisan dalam blog tanpa nama yang tidak layak dipercayai dari segi definisi maklumat domain awam.


"Saya telah memohon kepada Yang Dipertua Dewan supaya usul saya ke atas YB Simpang Renggam dapat diselenggara dengan secepat mungkin.

"Saya dapati YB Simpang Renggam melanggar (Perkara) 36(12) peraturan mesyuarat Dewan," katanya dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.


Peruntukan itu menetapkan bahawa ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan dianggap menghina majlis dan boleh dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan.

Tiada ulasan: