29 Julai 2013

Tarikh nuzul al-Qur’an: Suatu perbincangan

20 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Dr Ahmad Najib bin Abdullah Al-Qari,29 Jul 2013
Pendahuluan:
Nuzul al-Qur’an merupakan satu peristiwa penting berhubung sejarah al-Qur’an itu sendiri. Justeru, ia mendapat tempat khusus dalam karya-karya Ulum al-Qur’an (Ilmu-ilmu berkaitan al-Qur’an). Tumpuan diberikan untuk menjelaskan hakikat nuzul dan tahap-tahap penurunan al-Quran.


Al-Syaikh Muhammad Abd Al-‘Azim al-Zarqani ada menyatakan bahawa Nuzul al-Qur’an adalah asas keimanan terhadap al-Qur’an itu sendiri dan juga keimanan terhadap Nabi SAW.

Nuzul al-Qur’an bermaksud penurunan al-Qur’an. Ia terbahagi kepada dua tahap  utama:

Pertama: Nuzul al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke langit dunia di Bait al-Izzah secara sekaligus.
Kedua: Nuzul al-Qur’an dari Bait al-Izzah di langit dunia kepada Nabi SAW secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.



Berhubung isu Nuzul Al-Qur’an yang dibincangkan ini, apakah maksud penurunan (Nuzul)? adakah ia bermaksud Nuzul Al-Qur’an pada tahap pertama atau pada tahap kedua?



Jika kita mengumpulkan pendapat para ulama Islam dalam isu ini kita akan memperolehi pelbagai pendapat dan huraian.



Pendapat Pertama:
Pendapat yang agak masyhur memilih tanggal 17 Ramadhan sebagai tarikh Nuzul al-Qur’an.  Pendapat ini dipegangi sebahagian ulama sirah. Antara ulama sirah yang kuat berpegang kepada pendapat ini ialah Syaikh al-Khudhari dalam karyanya; Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah. Pendapat ini merujuk kepada suatu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu Ja’far al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan) wahyu kepada Rasulullah SAW bermula pada hari Isnin, 17 Ramadhan  (dan dikatakan pada 24 Ramadhan). Riwayat ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, maksudnya:



Al-Waqidi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Ja’far al-Baqir bahawa dia berkata: Permulaan wahyu kepada Rasulullah SAW adalah pada hari Isnin 17 Ramadhan, dan dikatakan juga pada 24 Ramadhan. 



Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 Ramadhan sebagai tanggal Nuzul Al-Qur’an. Setelah saya meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk “Ibtida’ Tanzil Al-Qur’an” (Bermulanya Penurunan Al-Qur’an), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada membuat  catatan berikut, maksudnya:



Ibn Ishaq berkata: Rasulullah SAW mula diturunkan wahyu kepadanya pada bulan Ramadhan. Allah Azza Wajalla berfirman (maksudnya): Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan kepada petunjuk itu, juga sebagai pembeza (antara yang haq dan yang batil). Dan Allah Ta’ala berfirman (maksudnya): Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam al-Qadr …Dan Allah berfirman maksudnya: Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada hari al-Furqan, hari pertembungan dua kumpulan… Itulah (yang dimaksudkan) pertemuan (peperangan) Rasulullah SAW dengan golongan musyrikin di Badr. Berkata Ibn Ishaq: Abu Ja’far Muhammad bin Ali bin Husain menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah SAW bertemu (memerangi) golongan musyrikin pada hari Juma’at, pagi 17 Ramadhan.



Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘al-furqan’ yang terdapat dalam al-Qur’an (pada ayat 185, Surah al-Baqarah) dengan ‘yaum al-furqan’ (hari al-Furqan, pada ayat 41, Surah  al-Anfal) yang merujuk kepada hari Peperangan Badr yang berlaku pada 17 Ramadhan. Oleh sebab perkara ini disebut di bawah tajuk “Ibtida’ Tanzil al-Qur’an”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa Nuzul Al-Qur’an juga berlaku pada tarikh yang sama.



Pendapat Kedua: Nuzul Al-Qur’an berlaku pada 7 Ramadhan.



Pendapat Ketiga: Nuzul Al-Qur’an berlaku pada 18 Ramadhan.
Pendapat kedua dan ketiga ini dinyatakan oleh Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya.

Pendapat Keempat:
Syaikh Safiyy al-Rahman sendiri membuat pilihan dan tarjih yang berbeza dengan ulama lain. Menurut beliau, Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 21 Ramadhan. Antara alasan yang dikemukakan seperti berikut:
1.Semua ulama sirah atau majoriti kalangan mereka sepakat mengatakan bahawa Nabi SAW dibangkitkan pada hari Isnin berdasarkan hadis Abu Qatadah RA dalam Sahih Muslim dan lain-lain.
2.Hari Isnin pada tahun Nabi SAW dibangkitkan jatuh sama ada pada hari 7 Ramadhan, 14 Ramadhan, 21 Ramadhan dan 28 Ramadhan. Hadis yang sahih ada menyebut bahawa malam al-Qadr tidak berlaku melainkan pada malam-malam ganjil, sepuluh malam terakhir Ramadhan.
3.Setelah dibuat perbandingan antara firman Allah dalam ayat 1 Surah Al-Qadr dan riwayat Abu Qatadah tentang penentuan hari Isnin sebagai hari Nabi SAW dibangkitkan serta dipadankan dengan perhitungan taqwim yang tepat bilakah sebenarnya jatuh hari Isnin pada bulan Ramadhan tahun kebangkitan Nabi SAW, jelaslah bahawa baginda dibangkitkan pada malam 21 Ramadhan.



Pendapat Kelima:
Pendapat seterusnya, Nuzul al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan. Pendapat ini berdasarkan hadis berikut, maksud:



Berkata Imam Ahmad: Abu Sa’id Maula Bani Hashim memberitakan kepada saya, katanya: ‘Imran Abu al-‘Awwam memberitakan daripada Qatadah daripada Abi al-Malih daripada Wathilah bin Al-Asqa’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: Suhuf Nabi Ibrahim AS diturunkan pada malam pertama Ramadhan, Taurat pula diturunkan pada 6 Ramadhan, Injil diturunkan pada 13 Ramadhan. Dan Allah menurunkan al-Furqan (Al-Qur’an) pada 24 Ramadhan. 



Hadis di atas dihukumkan hasan oleh Syaikh al-Albani, manakala Syaikh Ahmad Shakir menghukumkan sanad hadis ini sebagai sahih.



Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, hadis di atas bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185 dan firman-Nya Surah al-Qadr ayat 1.



Kata beliau,  berkemungkinan Lailah al-Qadr berlaku pada tahun kebangkitan Nabi SAW pada malam tanggal 24 Ramadhan yakni al-Qur’an diturunkan secara sekaligus ke langit dunia dan pada masa yang sama (24 Ramadhan) wahyu pertama diturunkan, iaitu surah Iqra:



Al-Tabari juga ada menyebut satu riwayat dengan sanadnya menerusi Sa’id Bin Jubair daripada Ibn Abbas RA katanya: Al-Qur’an diturunkan sekaligus dari Lauh Mahfuz pada malam 24 Ramadhan, kemudiannya ia ditempatkan di Bait al-‘Izzah.



Al-Qurtubi pula menyebut hadith Wathilah bin al-Asqa’ di atas dan menyatakan bahawa hadis tersebut merupakan dalil atau hujah terhadap pendapat Hasan al-Basri yang menegaskan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.



Al-Hafiz Ibn Kathir juga ada membawa hadis Wathilah ini dalam mentafsirkan maksud ayat 185, Surah al-Baqarah, kemudian beliau menyatakan bahawa Ibn Mardawaih ada meriwayatkan hadis daripada Jabir Bin ‘Abdullah RA seumpama hadith Wathilah dengan sedikit perbezaan pada matan hadith berkenaan.] Beliau juga ada menyebut hadis ini dalam al-Bidayah wa al-Nihayah  dan menyatakan bahawa berdasarkan hadis Wathilah ini, sebahagian ulama dari kalangan para sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.



Turut menyebut hadis Wathilah ,Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di mana beliau mengambil hadis ini  bagi menjelaskan Nuzul al-Qur’an berlaku pada tanggal 24 bulan Ramadhan.



Kesimpulan yang dapat dibuat setelah meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan di atas berhubung tanggal Nuzul Al-Qur’an seperti berikut:
1.Pendapat yang menyebut Nuzul al-Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan bersandarkan riwayat al-Waqidi. Menurut ulama al-Jarh wa al-Ta’dil, al-Waqidi (m. 207 H), nama penuh beliau: Muhammad Bin Umar Bin Waqid al-Aslami  seorang perawi yang sangat lemah (matruk) dan tidak diterima riwayatnya. Pendapat ini juga ditolak oleh Syaikh al-Zarqani kerana ia bercanggah dengan pendapat yang masyhur lagi sahih.



2.Pendapat Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri yang menyatakan Nuzul al-Qur’an jatuh pada tanggal 21 Ramadhan merupakan cetusan ijtihad beliau semata-mata berdasarkan penelitian beliau terhadap hadis Abu Qatadah dan perkiraan taqwim yang dipegangi beliau dengan mengambil kira malam ganjil untuk Malam al-Qadr. Malam al-Qadr boleh berlaku pada malam-malam genap dan juga boleh berlaku pada malam-malam ganjil di 10 hari terakhir Ramadhan.



3.Pendapat yang menyebut bahawa Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan adalah kuat. Ini berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:



i.Pendapat ini bersandarkan hadis marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadis. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas al-Qur’an dan hadis. Dalam hal ini, hadis Wathilah Bin al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya Nuzul al-Qur’an.



ii. Matan hadis dengan jelas menyebut bahawa al-Qur’an diturunkan pada 24 Ramadhan.



iii.Maksud atau mafhum hadis diterima pakai oleh ulama muktabar dari kalangan ahli hadis dan para mufassirin dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal 24 Ramadhan sebagai tarikh tepat bagi Nuzul al-Qur’an. Rujuk kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.



Penutup:



Kepelbagaian pandangan para ulama dalam membincangkan tarikh Nuzul al-Quran membuktikan keprihatinan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap al-Qur’an al-Karim. Setiap pendapat ada sandaran hujah yang dipegangi. Ruang untuk perbincangan masih terbuka asalkan hati bertekad mencari kebenaran. Dan perbezaan pendapat dalam hal sebegini janganlah sampai membawa kepada pertelingkahan yang boleh meruntuhkan ummah.



* Maqalah ini telah diedit semula oleh penulis (Dr Abu Zaid) pada bulan Ramadhan 1432H



http://abuanasmadani.blogspot.com

Tiada ulasan: