05 Ogos 2013

Kembalikan Morsi, syarat utama penyelesaian - Ikhwan

27 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,
MESIR: Ikhwan Muslimin menegaskan tidak akan menerima sebarang solusi yang dicadangkan mana-mana pihak kecuali pihak tentera bersetuju dengan syarat bahawa Dr Muhammad Morsi perlu dikembalikan sebagai Presiden Mesir yang sah.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Parti Kebebasan dan Keadilan, sayap politik Ikhwanul Muslimin sebagai menjawab kepada pertemuan Wakil Menteri Luar Negeri AS, William Burns yang mahu memujuk Ikhwan menerima solusi damai terhadap krisis politik yang berlaku di Mesir.

Kunjungan utusan AS itu sendiri adalah yang terbaru dalam penerusan langkah diplomatik menjadi orang tengah antara pendukung Mursi dan pemerintah sementara yang dikuasai tentera.

Ikhwan mendakwa, pendirian mereka tidak berubah, agar pihak tentera yang merampas kuasa mengembalikan legitimasi Mesir dengan menyerahkan kembali pemerintahan kepada Morsi yang telah dipilih oleh rakyat negara itu secara sah.

Dalam pada itu, Ahram Online melaporkan, Menteri Luar Negeri UEA Abdullah Zayed bersama rakannya dari Qatar Khalid Al-Attiyah serta William Burns telah mengunjungi orang kedua Ikhwanul Muslimin Khairat Asy-Syatir di penjara Tora malam tadi.

Ianya sebagai usaha memujuk Ikhwan menerima inisiatif penyelesaian yang mahu dikemukakan bagi menamatkan krisis di negara itu.

Namun Al-Jazeera kemudian melaporkan, Asy-Syatir, yang telah ditahan atas "tuduhan rekaan" menghasut pembunuhan, menolak untuk bertemu dengan mereka bertiga itu.

“Muhammad Mursi adalah presiden sah Mesir. Mereka harus berbicara kepada Mursi,” kata Asy-Syatir seperti dipetik Al Jazeera.

Tiada ulasan: